
Lionel Messi yang memenangi hampir semua yang ada untuk dimenangi dalam bola sepak, berkata membawa Inter Miami mendapat trofi pertama mereka akan menjadi luar biasa dan perkara yang indah.
Berada di kedudukan bawah Liga Bola Sepak Utama, tiada apa yang menarik mengenai Inter Miami sehingga ketibaan Messi di Florida Selatan bulan lalu.
Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu `mengganas’ sejak perlawanan pertamanya dengan menjaringkan sembilan gol dalam enam perlawanan yang membawa Miami ke final Piala Liga menentang Nashville SC.
“Ia akan menjadi luar biasa bukan? Baik untuk saya dan untuk semua orang yang menyokong kelab,” kata Messi. “Bagi semua orang yang membawa perubahan besar kepada kelab ini dan telah membantunya berkembang dan menjadikan pasukan sebagai titik rujukan global, memenangi gelaran akan sangat membantu.
“Ia akan sangat mengagumkan.
“Melihat keputusan buruk yang kami alami (tanpa menang dalam 10 perlawanan liga terakhir mereka) dan melihat di mana kami duduk dalam liga, kami tahu bahawa kami mempunyai peluang yang baik untuk mengubah keadaan.”
Selepas dua musim bersama juara Perancis, Paris St Germain dan membawa Argentina meraih kemenangan di Piala Dunia Qatar pada Disember lalu, Messi membawa budaya kemenangan kepada Inter Miami sambil meletakkan tumpuan bola sepak kepada kelab yang dimiliki bersama oleh bekas kapten England dan Manchester United, David Beckham.
Walaupun perubahan mendadak itu mengejutkan ramai pihak, Messi berkata ia tidak mengejutkannya atau pasukan.
Kelab Miami itu yang melantik Argentina Gerardo “Tata” Martino dari Argentina sebagai jurulatih bulan lalu dan menandatangani bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, Jordi Alba dan Sergio Busquets, mendapat tempat Liga Juara-Juara CONCACAF.
Tiga tempat teratas dalam Piala Liga layak menyertai Liga Juara-Juara CONCACAF dengan juara layak secara automatik ke peringkat 16 terakhir.
“Saya datang ke sini dengan hasrat untuk mendapatkan keputusan yang sama seperti yang dicapai sebelum ini dalam karier sukan saya,” kata Messi, yang kejuaraannya meliputi 10 gelaran La Liga bersama Barcelona, Liga Juara-Juara UEFA dan Copa America serta pingat emas Olimpik
“Namun, hakikat bahawa kami kini tinggal beberapa hari lagi untuk bermain di final hanyalah satu kejutan bagi mereka yang tidak melihat kami berlatih dan tidak melihat apa yang berlaku hari ke hari.
“Dari perspektif kami, kami rasa sudah bersedia untuk ini.
“Kami berasa bersedia untuk bersaing dan memenangi gelaran ini.” – REUTERS











