Pengundi muda lega tunai tanggungjawab

Hafizah Mohammad minta pengundi muda tunai tanggungjawab.
- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Seorang pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra, Hafizah Mohammad, 27, melahirkan perasaan lega selepas selesai menunaikan tanggungjawab bagi memilih pemimpin.

Sebagai orang muda, beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk memilih pemimpin dan berharap pengundi muda segera menunaikan tanggungjawab masing-masing

- Advertisement -

“Saya berharap anak-anak muda yang belum lagi keluar mengundi supaya tidak melepaskan peluang keluar mengundi kerana ia merupakan tanggungjawab kita kepada negara dan agama,” katanya ketika ditemui.

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Apam Putra, Zamakhsari Muhamad turut berharap semua pengundi tidak bertangguh untuk keluar awal bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Zamakhsari Muhamad bersama bekas Adun Apam Putra, Abdul Rasul Mohamad.

Katanya, pengundi dinasihat keluar awal memandangkan pada lewat petang keadaan cuaca tidak menentu di Kelantan kerana kadang-kadang hujan.

“Jadi untuk mengelak daripada sebarang perkara yang tidak diingini, saya nasihat semua pengundi yang belum keluar sama-sama selesaikan tanggungjawab sebagai pemilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai membuang undi di pusat mengundi Sekolah Menegah Ugama Arab (SMUA) Rahmaniah Repek.

Zamakhsari yang merupakan cucu kepada ulama terkenal di Repek menunaikan tanggungjawab mengundi pada jam 8.15 pagi.

Mohd Fauzi Abdullah bersama pengundi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di Sekolah Kebangsaan Manek Urai pada jam 10.40 pagi.

Beliau turut beramah mesra dengan pengundi yang hadir di sekolah terbabit sebelum meninjau pusat pengundian di sekolah lain.

Mohd Fauzi berhadapan dengan Datin Suzaini Adlina Sukri dari Barisan Nasional (BN) pada pertemuan dua penjuru. Pada Pilihan Raya Umum lepas beliau menang dengan majoriti 3,735 undi. – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -