
KOTA BHARU: Anak muda perlu mendapatkan maklumat yang jelas berhubung kerajaan negeri di samping mengelak daripada terjebak maklumat diragui dan palsu.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari jalan untuk menyeleweng dan melakukan pemalsuan maklumat bagi tujuan mengelirukan orang lain.
“Sebagai anak muda yang mempunyai fikrah perjuangan untuk mempastikan keadilan tertegak dan imej Islam semakin terserlah dalam negeri dan negara kita.
“Anak muda Islam juga ditekankan supaya mencontohi kehidupan anak muda Kahfi (Ashabul al-kahfi) yang menjadi model terbaik dalam pembentukan fikrah keanakmudaan yang hakiki.
“Mereka sempurna daripada aspek akidah ditambahi pula jiwa mereka dengan hidayah,” ujarnya ketika merasmikan Liga Elit DUN di Dataran Stadium, di sini malam semalam.
Menurutnya juga anak muda merupakan tonggak yang penting dan aset pelaburan bernilai dalam pembangunan sama ada peringkat negeri atau negara.
Oleh itu anak muda Kelantan perlu mengelak diri dari pelbagai aktiviti yang melalaikan diri khasnya di zaman teknologi serba canggih sekarang.
“Terlalu banyak cabaran yang perlu ditempuhi anak muda terutamanya isu yang berkaitan dengan gejala sosial yang melibatkan penggunaan siber.
“Saya mengingatkan anak muda khasnya dalam menggunakan teknologi siber supaya mengambil maklumat yang tepat dan benar kesahihannya,” ujarnya.
Beliau juga berkata, anak muda hendaklah menyahut dan menjadi banteng kepada Islam serta menjadi contoh kepada umat dengan menegakkan kebenaran Islam dalam masyarakat.
“Golongan muda mudi pada hari ini sangat perlu mengetahui isu yang melanda negara kita supaya lahir golongan yang bertanggungjawab terhadap negara.
“Di luar sana, terdapat beberapa kelompok anak muda yang perlu disantuni. Ada golongan anak muda yang terpisah langsung daripada kesedaran politik,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat, Timbalan Exco, Zuraidin Abdullah serta Adun. – HARAKAHDAILY 18/6/2023











