
LANGKAWI: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor meronda Pekan Kuah dengan menunggang basikal untuk meninjau persiapan Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2023 yang bakal berlangsung esok.
Sebelum ini, beliau memberi jaminan bekalan air mencukupi sepanjang tempoh LIMA 2023 berlangsung iaitu bermula 23 hingga 27 Mei ini.
Sanusi yang sampai semalam ke pulau terbabit dengan menaiki feri roro sangat mengambil cakna akan keperluan pengunjung dan peserta LIMA tahun ini dan mengharapkan mendapat perkhidmatan memuaskan.
“Para peniaga juga saya nasihatkan jangan mengambil kesempatan menjual makanan dengan harga yang mahal. Juallah dengan harga yang munasabah, agar mereka pulang nanti tidak membawa kenangan pahit bersama,” ujar beliau pada satu kenyataan sebelum ini.
Minggu lalu, beliau telah mengadakan perjumpaan bersama beberapa agensi yang terlibat seperti Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Pejabat Daerah Langkawi untuk mendapatkan perkembangan dan taklimat persiapan menghadapi program esok.
Pada kunjungan Isnin lalu, beliau turut mengadakan lawatan ke Mahsuri International Exhibition Centre untuk mendapatkan perkembangan persiapan LIMA 2023. – HARAKAHDAILY 22/5/2023











