
SANDAKAN: Muslimat PAS mesti menguasai teknik kemahiran dalam pengucapan awam untuk meningkatkan lagi kualiti dalam kepimpinan muslimat dan ke arah lebih profesional.
Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu berkata, muslimat mesti keluar dari zon selesa dan perlu berhadapan dengan orang ramai dengan memiliki kemahiran berucap.
Katanya, kemahiran berucap bukan sesuatu yang mudah dan boleh dicapai hasil daripada latihan praktikal dengan berjumpa orang ramai yang pelbagai ragam.
“Muslimat mesti memahirkan diri dengan seni penyampaian melalui audien dan penonton yang pelbagai. Kita juga wajar tahu latar belakang penonton untuk menarik perhatian mereka,” katanya ketika merasmikan bengkel pengucapan awam, anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baru (LPMB) Muslimat Negeri, bersama LPMB Sandakan dan Ameerah Sabah semalam.
Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah 1, Ameerah Malaysia Mardhiyyah Johari berkata, penguasaan ilmu dan pembacaan sangat penting untuk seorang ‘public speaker’.
Selain itu katanya yang bertindak sebagai penceramah bengkel, latihan bercakap mesti dilakukan supaya lidah dan ucapan menjadi lebih lancar.
Ketua Penerangan Muslimat Sabah, Cik Laila Ismail pula mengingatkan peserta memanfaatkan ilmu yang di berikan dalam bengkel tersebut, di samping terus memperbaiki diri untuk membina kepimpinan dan mantapkan ucapan.
Bengkel terbabit disertai seramai 30 peserta yang bertujuan untuk mencari pelapis dalam kalangan muslimat muda dalam kemahiran pengucapan awam. – HARAKAHDAILY 21/5/2023











