Korek muara bantu nelayan keluar menangkap ikan

Mohd Adanan Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kesukaran kira-kira 100 nelayan untuk keluar ke laut bagi menangkap ikan disebabkan muara cetek turut mendapat perhatian wakil rakyat.

- Advertisement -

Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan berkata, bagi pelan jangka pendek kerajaan negeri disaran mengorek pasir bagi membolehkan nelayan keluar ke laut mencari rezeki.

Bagaimanapun katanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan dicadang mendapatkan peruntukan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala kedalaman muara tersebut.

“Kerja-kerja penyelenggaraan sungai perlu dilaksanakan secara berterusan terutama selepas banjir melanda.

“Cadangan nelayan untuk bina benteng pemecah ombak itu perlu kelulusan kerajaan pusat kerana ia memerlukan peruntukan yang besar,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini Harakahdaily melaporkan kira-kira 100 nelayan di Pulau Timun, Pulau Suri, Pulau Che Soh dan Pulau Tongkang sukar keluar ke laut kerana muara cetek.

Adanan juga berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai dana yang besar untuk membina benteng pemecah ombak sebagaimana dicadangkan nelayan.

“Oleh itu kerajaan pusat dicadang menyenaraikan projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi mengatasi masalah yang dihadapi nelayan sejak lima tahun lepas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -