
KOTA BHARU: Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini dianggap tidak menjejaskan kekuatan gelombang hijau yang dicetuskan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum (PRU) lepas.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banyak isu-isu yang berlegar dalam kalangan parti-parti kerajaan campuran termasuk pembahagian kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dikatakan belum selesai.
“Insya-Allah apa pun bagi kita kena perkukuhkan agenda PN dalam menghadapi PRN tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kubang Kerian di perkarangan Masjid at-Taqwa Bandar Satelit Pasir Tumboh di sini semalam.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Pengerusi Bersatu negeri, Dato’ Kamaruddin Mohd Noor dan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian Abdul Rahman Yunus.
Lebih 6,000 pengunjung memeriahkan majlis tersebut yang disediakan pelbagai juadah termasuk gulai kawah, laksa kuah lemak, kambing bakar dan sate bersama nasi himpit.
Parti-parti yang membentuk kerajaan PH-BN hari ini mengadakan kovensyen di bangunan Umno.
Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, masalah dalaman PH dan BN memberi gambaran kepada rakyat mengenai kedudukan sebenar Pakatan Harapan (PH) dan Umno sekarang.
Bagaimanapun menurutnya PN sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi PRN tidak lama untuk mempertahan kemenangan dan mengambil alih pemerintahan kerajaan di Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kita berharap jentera-jentera yang ada dapat terus bertugas dengan baik memastikan kemenangan PN. Dan kita tunjukkan kejayaan sebagai mana telah dibuktikan dalam PRU lalu,” katanya.
Enam negeri bakal mengadakan pilihan raya iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang diperintah PN manakala Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan diterajui kerajaan perpaduan. – HARAKAHDAILY 14/5/2023




















