
ALOR SETAR: Hanya 1.12 peratus daripada 645,041 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dikenal pasti menghadapi masalah air.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, 1.12 peratus itu mewakili 7,222 akaun yang kini menerima hantaran bekalan air daripada SADA.
“Ada akhbar melaporkan terdapat satu juta akaun terjejas. Ini satu penipuan keterlaluan memberi gambaran tidak benar kepada masyarakat.
“Sekiranya daripada 7,222 akaun itu mewakili 10 orang dalam satu keluarga, jumlahnya baharu 70,000 orang. Sejuta itu datang dari mana?” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Akhbar terbabit katanya, perlu bertaubat kerana membuat kenyataan dan gambaran salah kedudukan atau situasi di Kedah.
Ujar Sanusi, krisis air yang melanda negeri ini bukanlah perkara baharu malah berpunca daripada kesilapan kerajaan sebelum ini yang menangguhkan pembinaan loji rawatan air (LRA) atas alasan untuk membuat kajian harga, lantikan konsultan dan sebagainya.
Namun, katanya ketika ini pemimpin Pakatan Harapan (PH) dilihat cuba mencuci kelemahan mereka yang lalu dengan meletakkan kesalahan serta menuding jari kepada kerajaan negeri sekarang.
“Setiap hari mereka bercakap berkenaan masalah air di Kedah seolah-olah telah berlaku krisis besar-besaran. Buat serangan, pi tangkap gambar LRA.
“Saya kalau boleh nak tutup dosa orang lain tapi dah mereka dok tembak seolah-olah kita yang salah, jadi saya terpaksalah maklumlah kelewatan serta penangguhan menaiktaraf LRA pada 2018 itu antara penyebab masalah air berlarutan sehingga kini,” jelasnya.
Menurut laporan SADA yang dibentangkan pada mesyuarat Exco hari ini, tegas beliau, kos bantuan air (penghantaran menggunakan lori) meningkat pada 2019 (RM1.9 juta) akibat penangguhan pembinaan LRA pada 2018.
Manakala, ujarnya pada 2020 (RM3.08 juta), 2021 (RM5.07 juta) dan sehingga Mac 2023 sebanyak RM2.6 juta.
Katanya, SADA bertanggungjawab mengurus 35 LRA (sedia ada) dengan kapasiti air terawat 1,458 juta liter sehari.
Namun, jelasnya ketika ini syarikat air itu mampu membekalkan 1,595 juta sehari melebihi kapasiti yang ditetapkan.
“Ada pihak membandingkan Kedah dengan Pulau Pinang. Itu sangat tidak adillah. Sebab jajaran paip di Pulau Pinang hanya 2,400 kilometer berbanding di Kedah 13,198.81 kilometer,” ujarnya lagi.
Tambahnya, berkenaan perkembangan naiktaraf lima LRA di Pelubang, Lubuk Buntar, Sungai Limau, Jenun Baru dan Bukit Selambau, menurut laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjalan dengan baik dan mengikut sepertimana yang dijadualkan.
Sehingga kini, SADA mempunyai 645, 041 akaun melibatkan 568,627 (domestik) dan 76,414 (industri dan komersial).
Dalam masa yang sama, SADA kini juga telah membuat persediaan fenomena El-Nino yang dijangka berlarutan sehingga Julai dan akan menyebabkan penggunaan air akan meningkat. – HARAKAHDAILY 10/5/2023











