
PADANG BESAR: “Alhamdulillah. Meriah sungguh majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini walaupun terpaksa beratur panjang untuk dapatkan kuetiau padu.
“Syok boleh kenal dekat wakil kawasan kami, moga Yang Berhormat (YB) dipermudahkan Allah segala urusan,” kata salah seorang pengunjung ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang, kelmarin.
Lebih 4,000 hadirin membanjiri Dewan Terbuka Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kayang, Perlis (Tapak Nat Behor Lateh, Seriab, Kayang, Perlis) demi menjayakan sambutan tersebut.
ADUN Kayang, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil berharap semoga ikatan silaturahim khususnya penduduk di DUN dapat dieratkan menerusi sambutan yang diadakan.
“Terima kasih atas kunjungan warga Kayang dan tetamu yang hadir memeriahkan majlis ini.
“Semoga dengan sambutan ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim dan perpaduan di antara kita.
“Kehadiran yang melibatkan pelbagai latar belakang kaum dan agama memperlihatkan perpaduan antara kita terus terjalin dengan erat dan harmoni,” katanya.
Beliau juga menzahirkan penghargaan tinggi kepada pasukan urusetia meliputi cawangan, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Kayang, PAS Kayang, Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar, PAS Kawasan Kangar dan semua pihak yang berusaha keras bagi memastikan majlis dapat dilaksanakan dengan sempurna dan lancar.
Kemeriahan turut dirasakan pada Majlis Jamuan Aidilfitri DUN Santan di hadapan Pusat Khidmat DUN, Paya, Padang Besar pada hari yang sama.
Hadir sama, Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi dan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan.
ADUN Santan, Ustaz Muhammad Azmir Azizan juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh penduduk di DUN berkenaan yang hadir.

“Terima kasih kepada semua penduduk di DUN Santan yang hadir memeriahkan rumah terbuka, termasuk dari Kampung Padang Lati, Kampung Baroh, Alor Sena, Kampung Petai, Kampung Padang Pauh, Kampung Masjid, Kampung Paya, Padang Melangit, Santan dan dari mana sahaja penduduk kampung yang hadir.
“Andai ada terkurang dari pelbagai perkara, ustaz dan pasukan pusat khidmat mohon maaf dan insya-Allah tahun depan kita berjumpa kembali dan akan diperbaiki lagi dari segi kekurangan pihak kami,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2023











