Mangsa ribut dinasihat buat laporan polis

- Advertisement -

ALOR SETAR: Penduduk yang terlibat kejadian ribut kencang baru-baru ini dinasihat membuat laporan polis bagi membolehkan kerosakan yang berlaku dapat dinilai.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, kerosakan harta benda dan maklumat lengkap perlu dimasukkan dalam laporan tersebut untuk diambil tindakan lanjut oleh agensi terbabit.

Katanya beliau melawat lokasi ribut di beberapa tempat di kawasan parlimen Pokok Sena dan menghulur sedikit bantuan kepada penduduk terlibat. (Foto atas)

“Pada lawatan itu hadir sama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wakil agensi-agensi berkaitan serta penghulu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Angin kencang yang melanda Kedah petang Khamis lepas mengakibatkan puluhan rumah di beberapa kampung terjejas.

Di Dewan Undangan Negeri (Dun) Derga sebanyak 31 rumah di kawasan kampung dan taman perumahan mengalami kerosakan.

“Ada yang rosak teruk, sederhana dan kerosakan kecil. Kebanyakan rumah penduduk mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat diterbangkan angin,” ujarnya.

Manakala dalam perkembangan sama, sebanyak 36 buah rumah sekitar Dun Kubang Rotan rosak akibat angin kencang yang melanda petang Ahad lepas.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, antara lokasi yang terlibat termasuk Taman Pelangi, Taman Kantan dan Taman Setia B.

Menurutnya beliau bersama Penyelaras Dun Kubang Rotan melawat tempat kejadian dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada penduduk terlibat.

Kejadian serupa juga melanda tujuh kampung sekitar Dun Ayer Hitam.

Dalam kejadian itu 30 rumah melibatkan Kampung Dalih, Kampung Matang Gelok, Kampung Pida 2, Kampung Pida 3, Kampung Pida 6 Gerbi, Kampung Darat dan Kampung Imam.

“Kejadian itu berlaku pada Syawal kedua dan ketiga. Sedikit bantuan diberi bagi membantu mangsa, manakala bantuan kerajaan negeri diuruskan penghulu,” kata Adun Ayer Hitam, Azhar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 2/5/2023

- Advertisement -