
ALOR SETAR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Kedah menjelaskan bacaan ikrar menyokong kerajaan negeri dan Menteri Besar (MB) tidak terkandung dalam tentatif program, malah di luar pengetahuan penganjur.
Presidennya Mohamad Luqman Nurhakim Shamsuddin berkata, MB sendiri pun tidak tahu dan tidak terlibat dengan agenda tersebut.
“Ia dilakukan secara sukarela oleh peserta yang hadir untuk menzahirkan sokongan terhadap kerajaan negeri dan MB.
“Oleh itu kami menggesa agar pihak tertentu berhenti melibatkan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan acara bacaan ikrar pada Majlis Ramah Mesra, 23 April lalu,” katanya pada satu kenyataan, di sini.
Kejadian berkenaan cuba diekploitasi sesetengah pihak dengan mengecam MB kononnya mengambil kesempatan kepentingan politik terhadap mahasiswa.
Ketika ditanya media Sanusi memaklumkan bacaan ikrar itu di luar pengetahuannya, sebaliknya pihak beliau hanya terlibat menyediakan juadah dan tempat program.
Menurut Luqman, agenda acara Ramah Mesra itu hanya melibatkan majis dialog terbuka kepada mana-mana peserta yang ingin mengemukakan soalan atau pandangan.
“Mahasiswa tampil secara sukarela menyatakan sokongan kepada MB melalui ikrar dan mengajak semua hadirin turut sama melafazkan ikrar,” tambah beliau.
Pada Majlis Ramah Mesra Mahasiswa bersama Menteri Besar, sebaik sahaja majlis selesai, hadirin secara spontan beramai-ramai bangun berikrar mempertahankan kerajaan negeri dan Menteri Besar. – HARAKAHDAILY 26/4/2023











