
TANGGA BATU: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata semangat beliau untuk membantu rakyat ‘tidak mati’ semata-mata kerana tidak mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, program-program bantuan kepada rakyat yang memerlukan tetap berlangsung dengan bantuan daripada rakan-rakan seperjuangan yang menyumbang dan juga menggunakan elaun wakil rakyat yang diterima.
“Semangat kami tak mati. Kami terus bekerja. Tetapi kena melihat di luar sana masih ramai lagi rakyat yang memerlukan bantuan tetapi kita tak dapat memenuhi sedangkan mereka sangat memerlukan.
“Jadi kalau menurut saya, kalau bantuan (kerajaan) itu turun saya rasa insya-Allah Tangga Batu betul-betul kita akan gunakan untuk membantu mereka. Sedangkan tak dapat peruntukan pun kami tetap bantu rakyat dengan bantuan rakan-rakan,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian dalam sidang media seusai program ‘Sumbangan Hari Raya Aidilfitri’ di Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu, Taman Tanjung Minyak, di sini, hari ini.
Tambah beliau tindakan Kerajaan Persekutuan menafikan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya menafikan hak rakyat yang perlu dibantu.
“Kalau menurut saya mereka bukan menafikan wakil rakyat itu, tetapi mereka menafikan hak rakyat itu sendiri. Rakyat yang pilih kita. Kerana itu bagi kami walaupun tidak ada peruntukan dari kerajaan kita kita tetap juga berkhidmat semampu yang kami ada.
“Kalau kita sesuaikan dengan manifesto PH ada menyebutkan tentang reformasi dan saya rasa inilah masanya yang terbaik untuk kerajaan melakukan reformasi dan berlaku adil kepada semua,” katanya.
Tambahnya lagi, situasi politik dan pengundi pada hari ini memperlihatkan kematangan, tidak sama dengan dahulu kerana sumber maklumat di hujung jari menjadikan pengundi dan masyarakat kini lebih bermaklumat serta boleh menilai.
“Jadi sebab itu kita berharap kerajaan Pusat dapat melihat secara serius supaya rakyat melihat bahawa inilah sebuah kerajaan berlaku adil kepada rakyat semua,” ujar beliau.
Mengulas tentang program bantuan Aidilfitri tersebut, Bakri berkata PAS Kawasan Tangga Batu konsisten melaksanakan program itu sekian lama sebelum beliau memenangi kerusi parlimen ini lagi.
Katanya sebanyak RM20,000 berjaya dikumpul daripada para penyumbang termasuk sumbangan daripada elaun wakil rakyat beliau sendiri dan akan diagihkan kepada 400 orang penerima.
Jelasnya, nama-nama yang dipilih adalah berdasarkan rekod mereka yang pernah berurusan dengan Pusat Khidmatnya dan tidak mengira fahaman politik dan sebagainya.
Menurut Bakri seramai 100 orang penerima telah menerima sumbangan pada majlis hari ini manakala selebihnya akan diserahkan pada majlis yang lain atau diedarkan terus ke rumah bagi mereka yang kurang upaya atau uzur.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad dan Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon. – HARAKAHDAILY 15/4/2023











