
Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski, mengisytiharkan bahawa Lionel Messi adalah milik Barcelona, sambil menaruh harapan bahawa kapten Argentina yang memenangi Piala Dunia akan kembali ke kelab LaLiga itu.
Lewandowski yang menghadiri program mengumpul dana untuk Yayasan Lovaas, berharap pada musim depan dapat bergabung dalam jentera serangan kelab itu bersama Messi, yang kini mewakili Paris St Germain.
“Messi milik Barca dan jika dia kembali, ia akan menjadi luar biasa. Kami tahu tempatnya di sini, di Barcelona. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, tetapi saya harap musim depan, kita boleh bermain bersama,” katanya.
Pemain antarabangsa Poland itu juga bercakap mengenai perjuangan Barca baru-baru ini, apabila mereka tersingkir dari separuh akhir Copa del Rey dengan kekalahan agregat 4-1 di tangan seteru ketat, Real Madrid.
Bagaimanapun, Barcelona mendahului kedudukan LaLiga dengan 13 mata di hadapan Real dengan baki 10 perlawanan.
“Kami fokus pada LaLiga dan masih memerlukan mata untuk menang, tetapi kami tidak memikirkan tentang jurang dengan Madrid. Kami perlu menjaringkan gol dan menggembirakan penyokong. Saya dan rakan sepasukan bekerja keras untuk memenangi kejuaraan,” kata pemain berusia 34 tahun itu.
Barcelona bertandang ke Getafe pada Ahad ini. – REUTERS











