Silaturahim belia Terengganu dan Medan

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, selesai program Jejak Budaya Majlis Belia Negeri Terengganu ke Medan, Indonesia selama 3 hari 2 malam. 

Terima kasih buat Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Pengarah Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera dan sahabat-sahabat belia yang turut serta dalam program ini. 

Satu pengalaman yang cukup hebat ditambah dengan kemesraan silaturahim antara kita semua. 

Ikatan ukhuwah kami ibarat anak beranak dalam organisasi belia. Ada perkara yang keruh, kita jernihkan. Ada permasalahan, kita leraikan. Yang pastinya, keharmonian dan persaudaraan yang harmoni sentiasa menjadi dambaan kami. 

Menjiwai bukan sekadar memahami organisasi belia adalah satu perkara yang cukup penting. 

Kerana itu, apabila mempunyai jemputan program mahupun surat menyurat dari organisasi belia, pastinya saya akan sedayanya memenuhi hasrat itu sebagai tanda kebersamaan dengan mereka. 

Walaupun di kalangan kami mempunyai ideologi dan pandangan yang berbeza berkait politik, namun ianya sama sekali tidak menjadi jurang antara kami. 

Bagi saya, ideologi politik itu perlu sama-sama diraikan namun jangan meletakkan politik itu mengatasi dari kepentingan organisasi belia. 

Ini juga mungkin merupakan lawatan terakhir saya bersama sahabat-sahabat Majlis Belia Negeri Terengganu selaku Exco Belia, Sukan dan NGO sebelum melabuhkan tirai untuk Pilihan Raya Negeri nanti.

Kepada semua ahli rombongan, semoga kalian selamat sampai di destinasi masing-masing. InsyaAllah, kita berjumpa lagi nanti. 

YB USTAZ WAN SUKAIRI WAN ABDULLAH
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu
ADUN Wakaf Mempelam – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -