Lantik Timbalan Yang di-Pertua blok pembangkang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mencadangkan seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dilantik daripada kalangan blok pembangkang.

Beliau yang juga mantan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkata, ketika ini dua penyandang jawatan itu adalah daripada blok kerajaan.

- Advertisement -

Menurutnya, Yang Dipertua (Datuk Seri Johari Abdul) hari ini, bergilir dengan Timbalannya,, Alice Lau (PH-Lanang) mempengerusikan mesyuarat.

“Saya rasa cadangan dua tahun lalu supaya ditambah seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua untuk Dewan Rakyat, perlu diteruskan oleh Yang Berhormat.

“Saya pernah duduk di sana (sebagai Timbalan Yang di-Pertua). Memang betul, dua Timbalan Yang di-Pertua tidak mencukupi untuk Dewan Rakyat dan boleh ditambah.

“Pelantikan ketiga ini penting dan mesti dari blok pembangkang,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain Alice, seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat ialah Datuk Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands).

Ronald berkata, pelantikan Timbalan Yang di-Pertua ketiga dari blok pembangkang akan membantu mengharmonikan Parlimen, tanpa ada mana-mana Timbalan Yang di-Pertua mempunyai cara atau kuasa untuk memberi kelebihan kepada mana-mana pihak.

Walaupun disaran dilantik dari blok pembangkang, katanya Timbalan Yang di-Pertua ketiga akan berfungsi seperti Timbalan Yang di-Pertua dari kerajaan dan berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen.

Johari ketika memberi maklum balas kepada cadangan Ronald mengangguk dan berkata: “Insya-Allah.” – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -