
KUALA LUMPUR: Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertungkus lumus semasa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Batang Kali, Disember lalu.
Beliau berkata, JBPM adalah agensi bantuan dan penyelamat yang terpenting untuk menjaga keselamatan awam dan harta benda apabila berlaku kebakaran.
Namun, katanya JBPM bukan sahaja mencegah dan memadamkan kebakaran, malah menyediakan pelbagai bentuk perkhidmatan kepada masyarakat, termasuk melindungi nyawa manusia dan harta benda ketika pelbagai keadaan bencana.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada jabatan ini yang bertungkus lumus, berkampung semasa kejadian tanah runtuh di Batang Kali.
“Sehinggakan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, dimasukkan ke hospital akibat keletihan dan mengalami strok ringan,” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini..
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan sebagainya serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Jabatan Amal Malaysia yang turut menyertai operasi di situ.
Namun, beliau sedikit terkilan kerana sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor tidak dibenarkan masuk ke bilik operasi pada hari kedua kejadian itu berlaku.
“Saya perlukan maklumat tepat, apa pun saya akur dengan keputusan pengarah operasi ketika itu dan saya difahamkan selepas ini, bahawa setiap bencana yang berlaku di tempat masing-masing, Ahli Parlimen akan dilibatkan sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023











