Pemuda, Muslimat PAS sayap kekuatan parti

- Advertisement -

LAHAD DATU: “Pemuda dan Muslimat PAS merupakan sayap kekuatan parti,” kata Ketua Sektor Pendidikan, Dewan Pemuda PAS Sabah, Rosli Hassan.

- Advertisement -

Menurutnya, sifat sebagai sayap parti itu hendaklah bertindak dengan lebih cepat dan lebih keras usahanya dalam menggerakkan agenda parti.

“Jangan berpecah antara satu sama lain kerana matlamat kita itu sama, perlu bekerjasama supaya kita kuat membantu perjuangan PAS menuju kemenangan.

“Pemuda dan muslimat juga perlu bijak dalam melaksanakan kerjasama pintar antara semua pihak, supaya dapat membina kekuatan luaran parti,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Lahad Datu, di SRITI Al Falah, Kunak, kelmarin. Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Mursidi Amat.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Lahad Datu, Landari Labobo menyeru agar program luaran parti diperkasakan, supaya dapat membina jalinan yang kukuh antara PAS dan masyarakat.

Menurutnya, 70 peratus program yang ingin dilaksana harus menumpukan program bersama masyarakat, manakala selebihnya tertumpu kepada program dalaman parti seperti liqa, mukhayyam, ijtima’ dan sebagainya.

“Sebagai contoh jika kita ada 10 program, maka tujuh adalah program luaran, tiga itu program bersifat dalaman,” katanya.

Pada mesyuarat Pemuda Kawasan kali ini, menyaksikan penyandang utama iaitu ketuanya, Landari Labobo, Arraffie Asgari (timbalan) dan Abdul Razik Abdullah (naib) kekal bagi sesi 2023-2025. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

- Advertisement -