
KUALA LUMPUR: Kerajaan menghargai cadangan yang telah dikemukakan Afnan Hamimi Taib Azamudden [PN-Alor Setar] berhubung penyediaan kontrak/perjanjian yang patuh syariah.
“Sebagai makluman, dasar dan peraturan semasa yang sedang berkuat kuasa sememangnya telah melalui semakan perundangan demi mencapai prinsip keadilan kepada semua dan menjaga kepentingan kerajaan,” kata Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis kepada soalan Afnan Hamimi.
Afnan Hamimi dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah pihak Kerajaan bercadang untuk mewujudkan kontrak-kontrak perjanjian yang patuh syariah di dalam sistem perolehan dan tender kerajaan.
Menurut kementerian itu, berdasarkan pelaksanaan peraturan dan tatacara perolehan kerajaan semasa, penetapan syarat dan perjanjian yang patuh syariah telah dimasukkan dalam proses perolehan sedia ada.
“Antaranya, penetapan kepada rukun jual-beli merangkumi keperluan wujudnya pihak yang berakad (penjual dan pembeli), barang yang dibeli dinyatakan dengan khusus dan shighah (ijab dan qabul yang diikat melalui kontrak perolehan yang sempurna) di samping tiada unsur meragukan.
“Kerajaan bersedia untuk memperhalusi perkara ini dan sentiasa berusaha secara berterusan bagi menambah baik tatacara perolehan semasa dalam usaha mempertingkatkan tata kelola yang baik (good governance) bagi memenuhi prinsip perolehan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2023











