
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan perumahan komersial di Malaysia berdasarkan pasaran terbuka.
Menurut KPKT, kenaikan harga rumah adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya kos bahan binaan, kos tanah serta caj-caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyedia perkhidmatan utiliti.
KPKT menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ir Ts Khairil Nizam Khirudin [PN-Jerantut] di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairil Nizam meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan komitmen untuk memastikan keperkasaan akta bagi mengawal harga rumah dan harga tanah agar tekanan komitmen bulanan rakyat Malaysia dapat dikurangkan secara terus.
Namun, ujarnya bagi memastikan harga rumah adalah terkawal, kerajaan melalui KPKT telah melaksanakan beberapa tindakan seperti memperkenalkan Dasar Rumah Mampu Milik (DRMM).
Melalui DRMM, katanya kerajaan telah menetapkan siling harga rumah mampu milik (RMM) pada RM300,000.
Walau bagaimanapun, siling harga RMM itu turut tertakluk kepada dasar perumahan di peringkat negeri
Di samping itu, katanya pemetaan Indeks RMM sedang dilaksanakan berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah yang diperolehi daripada tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019.
“Kaedah ini mengambil kira median pendapatan rakyat mengikut lokaliti berdasarkan kaedah gandaan median (median multiple),” tambahnya.
Pemetaan itu, menurutnya bertujuan sebagai panduan kepada pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi penetapan harga jualan rumah di satu-satu lokaliti dan menggalakkan pemaju untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan atau Feasibility Study sebelum sesuatu pemajuan dilaksanakan bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat seterusnya mengelakkan rumah tersebut tidak terjual. – HARAKAHDAILY 27/2/2023











