Sekuriti makanan negara masih bergantung sumber import

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menafikan bahawa sumber import menyumbang kepada sekuriti makanan negara.

- Advertisement -

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), beberapa komoditi makanan yang melebihi IDR 50 peratus bagi tahun 2021 adalah seperti, kobis bulat, cili, halia, daging lembu/kerbau, daging kambing/bebiri dan susu segar.

KPKM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat, semalam.

Muhammad Fawwaz meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan senarai barangan keperluan makanan yang diimport dari luar melebihi 50 peratus serta nyatakan perancangan jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil import.

Menurut KPKM, pelbagai inisiatif jangka pendek dan jangka panjang telah dilaksanakan untuk meningkatkan jaminan sekuriti bekalan makanan negara dengan memberi fokus kepada pengeluaran domestik komoditi asas seterusnya mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber import bagi keseluruhan komoditi makanan.

Tambahnya, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah melaksanakan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di bawah subsektor padi yang menyasarkan peningkatan purata hasil padi per hektar daripada 3.5 tan metrik kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) melalui pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan dan sebagainya;

Di samping itu, ujarnya di bawah subsektor ternakan, inisiatif kolaborasi strategik yang sedang diusahakan bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera, FELDA, FELCRA dan RISDA khusus untuk meningkatkan pengeluaran ternakan dan jagung bijian untuk makanan ternakan;

Katanya, bagi subsektor tanaman pula, KPKM sedang memperluas dan menambahbaik infrastruktur serta fasiliti sedia ada di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) bagi memenuhi keperluan semasa industri.

Seterusnya, bagi subsektor perikanan, inisiatif Program Modenisasi Vesel dan Mekanisasi Tangkapan yang menawarkan 2 dana pembiayaan sebanyak RM150 juta untuk perolehan vesel moden dan peralatan berasaskan IR4.0;

Katanya, dari aspek pemodenan dan pertanian pintar, KPKM melaksanakan pelbagai inisiatif melalui kemudahan pembiayaan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan berjumlah RM60 juta; dan

Selain itu, ujarnya menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian dan agromakanan melalui Program Agropreneur Muda

“Namun begitu, dalam keadaan ini kita tidak dapat menafikan bahawa sumber import menyumbang kepada sekuriti makanan negara.

“Untuk makluman, terdapat komoditi makanan yang tidak dapat dihasilkan secara domestik antaranya disebabkan ianya tidak ekonomik, faktor kesesuaian iklim serta kekangan sumber tanah dan tenaga kerja,” ujarnya.

Selain itu, katanya permintaan pengguna turut mempengaruhi import makanan, kesan daripada pilihan gaya hidup, peningkatan pendapatan dan perubahan persekitaran. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -