Hapus hutang peneroka lebihan daripada RM8.3 bilion

Ustaz Kamal Ashaari
- Advertisement -

SAYA ingin memulakan ucapan saya dengan membacakan firman Allah dalam Surah an-Nahl (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan supaya melalukan keadilan dan melakukan kebaikan”.

- Advertisement -

Dalam asas kepada kemurnian dalam kehidupan Nabi SAW menyatakan (bermaksud): “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi orang lain. Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi diri dia sendiri”.

Hadis ini memberikan gambaran bahawa dalam kita mewujudkan sebaran reformasi dalam apa juga perkara, perkara inilah yang perlu kita titik beratkan yakni apa juga perkara yang kita tidak suka orang lakukan kepada kita, begitu jugalah kita tidak patut melakukannya kepada orang lain. Sebagai memulakan perbahasan ini, saya ingin menyentuh dalam beberapa perkara.

Pertama sekali setiap manusia pasti tidak lepas daripada kesalahan. Namun kesalahan itu bukan lah sesuatu yang mesti diulangi. Begitu juga manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan, namun kesilapan itulah yang perlu diperbaiki.

Justeru itu, dalam kita bercakap tentang reformasi Parlimen, saya mengajak seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat untuk kita bertanya kepada diri kita sampai bilakah politik dendam, balas dendam, kutuk-mengutuk, maki-memaki menjadi sesuatu yang tidak dapat lepas daripada perbahasan di Dewan yang mulia ini.

Saya amat bersetuju dengan apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Timbalan Tuan Yang di-Pertua pada hari lepas ketika dia bertemu dengan rakyat di kedai mamak. Gambaran ini patutnya memberikan kesedaran kepada kita betapa kita perlu memulakan reformasi itu kepada diri kita sendiri tanpa mengharapkan orang lain untuk melakukan reformasi itu sedangkan kita kekal dengan sikap yang lama.

Ahli Yang Berhormat sekalian, antara perkara yang menjadi asas disebutkan oleh beberapa Yang Berhormat adalah tentang kedaifan sekolah-sekolah. Saya amat bersetuju dengan keadaan semasa ini. Cuma, apa yang ingin saya panjangkan di sini agar kedaifan sekolah-sekolah ini ataupun pembaikan kepada sekolah-sekolah yang daif ini dilebarkan juga kepada sekolah-sekolah terutamanya seumpama sekolah tahfiz, madrasah-madrasah yang juga berperanan besar dalam pembangunan negara dalam keadaan kita mengetahui sebahagian besar sekolah-sekolah ini juga berdepan dengan kedaifan prasarana dan sebagainya.

Seterusnya, saya juga ingin mengajak Yang Berhormat semua untuk memikirkan sebagaimana kaedah untuk mengurangkan jurang perbezaan di antara bandar dan luar bandar. Parlimen Kuala Krau, ia berada di dua PBT. Satu DUN daripada tiga berada di PBT Maran, manakala dua DUN lagi berada di PBT Temerloh menyebabkan pembangunan tidak sekata.

Tadi Yang Berhormat Temerloh bangun menyebutkan bahawa masalah-masalah yang berlaku seumpama jalan-jalan maut, harga getah dan sebagainya. Begitu juga nasib penternak-penternak, nelayan darat, penternak ikan patin juga dialami di Parlimen Kuala Krau. Maka, sebab itu saya menyokong dan menyarankan sekali lagi agar nasib mereka ini diambil peduli bagi memastikan kelangsungan kehidupan mereka pada zaman era kejatuhan ataupun kemerosotan ekonomi dunia hari ini.

Tuan Yang di-Pertua dan sekalian Yang Berhormat, oleh sebab itu, saya mencadangkan sebagaimana yang disarankan oleh Yang Berhormat Temerloh juga, supaya diwujudkan bagi mengurangkan jurang perbezaan di antara bandar dan luar bandar ini, saya mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Tinggi mewujudkan institut pengajian tinggi awam terutamanya di Kuala Krau ataupun di Temerloh kerana kami berdampingan ya. Ini supaya dengan itu, akan merancakkan lagi pembangunan sebagaimana yang berlaku di Perak contohnya dan beberapa buah kawasan yang lain apabila dengan kewujudan IPTA ini akan memberikan nilai tambah pembangunan kepada penduduk setempat selain daripada boleh membangunkan kawasan itu setaraf dengan kawasan-kawasan yang lain.

Tuan Yang di-Pertua, Kuala Krau mengandungi 13 buah FELDA yang mana peneroka FELDA merupakan antara golongan yang sejak dulu menjadi rakyat yang setia dalam membayar apa juga cukai yang dikenakan oleh kerajaan. Justeru itu, di kesempatan ini, saya mewakili peneroka FELDA terutamanya di Parlimen Kuala Krau, memohon kepada kementerian yang berkenaan; pertama sekali adalah untuk memastikan kerajaan membuat dasar yang lebih jelas terhadap penempatan generasi kedua dan ketiga peneroka terutamanya anak-anak peneroka yang membina rumah di tanah tapak generasi ayah-ayah mereka diberikan kemudahan api dan air yang pernah diberikan sebelum itu dan kemudian ditarik balik dalam beberapa waktu yang terdekat ini.

Kedua, sejak dulu lagi saya sebagai salah seorang anak peneroka FELDA, setiap kali menerima pay slip pembayaran, terdapat pemotongan-pemotongan yang sampai pada hari ini, peneroka tidak mengetahui apakah terma-terma pemotongan. Yang dia tahu, dipotong sekian banyak, sekian banyak. Oleh sebab itu, saya memohon kepada kementerian yang berkewajipan untuk memberikan ataupun mengeluarkan senarai penuh apakah perkara yang dipotong di dalam slip penerimaan duit bagi peneroka. Ini untuk memberikan peneroka rasa puas kerana mereka tahu ke manakah duit mereka itu dipotong.

Begitu juga dalam isu peneroka ini, saya juga ingin memberikan cadangan kepada pihak-pihak yang wajib sebagaimana yang telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Kelapan iaitu menghapuskan 80 peratus hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion. Saya mewakili anak-anak peneroka, merasai beban tanggungan hutang generasi pertama memohon agar hendaklah kiranya ada usaha lagi dibuat agar menghapuskan keseluruhan hutang peneroka yang berjumlah lebihan daripada RM8.3 bilion tersebut. Mudah-mudahan ia memberi sedikit kelegaan kepada anak-anak peneroka pertama yang telah meninggal dunia. Ini sekurang-kurangnya mereka tidak terbeban dengan hutang yang mereka tanggung.

Bagi masalah tempatan, Kuala Krau tidak ketinggalan menghadapi dengan masalah banjir. Oleh sebab itu, saya memberikan- memohon kepada pandangan, ambil berat daripada kementerian yang berkenaan supaya melihat tentang kawasan banjir terutamanya di DUN Jenderak dan di DUN Kerdau kerana sering dilanda banjir terutamanya di tapak pasar malam yang menjadi tempat mencari rezeki golongan-golongan berpendapatan rendah. Bayangkanlah pada musim tengkujuh, dengan pendapatan yang begitu sedikit, tiba-tiba akibat banjir yang menenggelamkan tapak perniagaan itu menyebabkan mereka hilang pendapatan untuk sara hidup seharian mereka.

Begitu juga, saya ingin jelaskan bahawa Kuala Krau melahirkan tokoh-tokoh sukan dalam kalangan anak-anak muda. Namun disebabkan perkongsiannya dengan Temerloh dan Jengka yang juga berada dalam Parlimen Kuala Krau tetapi berada jauh kerana berada di PBT Maran, menyebabkan anak-anak muda terpaksa berkongsi kelengkapan sukan bersama Temerloh dan juga di PBT Maran. Maka, apakah tidak ada cadangan bagi mengucapkan terima kasih kepada anak-anak muda di DUN Kerdau terutamanya di Parlimen Kuala Krau yang telah mengharumkan nama negara dalam beberapa sukan untuk mewujudkan mini sukan di Kuala Krau bagi kemudahan anak-anak ini?

Tuan Yang di-Pertua, sebagai akhirnya, saya ingin sekali lagi menyeru kepada seluruh Yang Berhormat agar kita sama-sama bermuhasabah untuk menjalankan tanggungjawab kerana kita merupakan Wakil Rakyat, kakitangan kerajaan berkhidmat untuk rakyat, maka apa pun yang bersangkutan dengan rakyat mestilah dikembalikan kepada rakyat termasuklah peruntukan Ahli Parlimen adalah hak rakyat yang mesti disalurkan kepada wakil yang dipilih oleh rakyat, bukan yang dipilih oleh kerajaan yang tidak menang dalam pilihan raya. – HARAKAHDAILY 21/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 20 Februari 2023.

- Advertisement -