Masalah anjing liar perlu segera ditangani pihak berwajib

- Advertisement -

ISU anjing liar di sekitar DUN Manjoi semakin bahaya, hingga menyebabkan kecederaan masyarakat setempat. Saya telah menerima banyak report berkaitan isu anjing liar yang mengganggu orang awam dan kucing peliharaan pun banyak yang mati disebabkan anjing liar.

Saya sangat mengambil berat terhadap isu ini kerana ia telah membawa mudharat dan keburukan kepada masyarakat di dalam kawasan DUN Manjoi khususnya.

Saya turun sendiri melihat kawasan-kawasan anjing liar berkeliaran yang sangat mengganggu orang ramai di kawasan DUN Manjoi ini. Kebanyakannya di kawasan Chepor, Chemor, Klebang dan Meru kawasan-kawasan ini semakin banyak anjing liar yang agresif mengganggu penduduk setempat.

Kes terbaru ada anak kita terjatuh dari motor yang ditunggang oleh neneknya ketika bersiar siar dalam kawasan taman perumahan, anak ini terjatuh sebab bajunya digigit 2 ekor anjing liar dari belakang.

Kecederaan yang dialaminya patah tangan dan luka beberapa bahagian badan, muka, dada dan kaki. Kes ini berlaku di sekitar Taman Tawas Mewah berdekatan Kg Sri Klebang.

Saya sangat berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak berkuasa kerana perkara ini semakin bahaya. Haruslah diambil tindakan segera sebelum kejadian lebih buruk berlaku kepada warga masyarakat kita.

Tuan Puan yang tinggal di dalam DUN Manjoi khususnya yang nak laporkan berkenaan isu anjing liar boleh beritahu secara spesifik lokasi dan tempat di mana ia berlaku untuk saya bawa terus aduan ini kepada pihak berwajib.

YB USTAZ HAFEZ SABRI
ADUN Manjoi – HARAKAHDAILY 16/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -