
Penyerang Paris St Germain (PSG), Lionel Messi, diragui dapat diturunkan dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich kerana masalah hamstring.
Messi bermain selama 90 minit ketika kekalahan 2-1 PSG kepada Olympique Marseille dalam Piala Perancis, Rabu lalu dan kemudian mengadu berasa sakit pada hamstring.
Pemain berusia 35 tahun itu juga akan terlepas ketika perlawanan Ligue 1 ketika PSG berkunjung ke AS Monaco pada Sabtu ini, tiga hari sebelum menentang Bayern.
Messi yang membantu Argentina memenangi Piala Dunia pada Disember lalu, menjaringkan 15 gol dalam 25 perlawanan semua pertandingan untuk PSG musim ini.
Kelab Paris itu sebelum ini kehilangan penyerang, Kylian Mbappe untuk perlawanan menentang juara Jerman itu selepas pemain Perancis itu mengalami kecederaan paha minggu lalu.
Perlawanan kedua akan diadakan di Munich pada 8 Mac. – REUTERS











