Kerajaan perlu fokus pemulihan ekonomi, kurangkan berpolitik

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada beberapa laporan yang menyatakan bahawa ekonomi global dijangka akan berkembang dengan kadar lebih perlahan pada tahun 2023. 

Bahkan, Bank Dunia mengurangkan unjuran kadar pertumbuhan tahun 2023 kepada hanya 1.7 peratus, realitinya ini jauh lebih rendah berbanding ramalan  sebelum ini iaitu pertumbuhan 3.0 peratus.

Unjuran ini secara dasarnya menjangkakan pertumbuhan tahunan ketiga paling lemah dalam tempoh 30 tahun, selepas kemelesetan besar yang berpunca daripada krisis kewangan global 2009 dan pandemik COVID-19 pada 2020. 

Antara faktor menjadi pemangkin kepada unjuran ini adalah konflik perang Rusia-Ukraine yang masih berterusan, kenaikan kadar inflasi dan kadar faedah bank pusat, sekali gus meletakkan ekonomi global 2023 di ambang kemelesetan.

Berdasarkan maklumat diperolehi bahawa gergasi ekonomi seperti Amerika Syarikat, China dan Eropah juga turut terkesan dengan pertumbuhan ekonomi mereka yang masih lembap. 

Keadaan ini sangat merisaukan penduduk di serata dunia tatkala kita baru keluar dari musibah pandemik COVID 19 yang melanda dunia selama 2 tahun lepas.  

Saya menggesa agar kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar lebih mengutamakan inisiatif dan pelan strategik agar kesan kemelesetan ekonomi dapat dikurangkan kepada rakyat Malaysia. 

Saya ingin menarik perhatian pihak kerajaan bahawa rakyat marhaen ternanti-nanti untuk melihat bagaimana pihak kerajaan bertindak sepenuhnya dalam menangani kos kenaikan barang yang masih wujud di pasaran dalam negara kita.

Pilihan Raya Umum ke-15 atau PRU-15 telah berlabuh dan meninggalkan kita lebih 2 bulan lepas. Oleh itu, saya berharap Kerajaan Persekutuan telah mengakhiri suasana ‘bulan madu’ sempena menjadi kerajaan baharu dan kurangkan berpolitik dalam melaksanakan tugas. 

Saya juga melahirkan kepercayaan bersempena dengan pembukaan sidang Parlimen yang baharu pada minggu depan, para Ahli Parlimen sama ada di barisan penyokong kerajaan mahupun pembangkang tidak sabar untuk terlibat dalam proses semak dan imbang kepada cabang eksekutif di dalam negara kita.  

Kita berusaha dan berdoa kepada Allah Taala agar negara kita menjadi lebih sejahtera dan maju selepas ini.

“Malaysia Sejahtera”

YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit
10 Februari 2023 bersamaan 19 Rejab 1444H – HARAKAHDAILY 10/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -