
Dua kelab Liga Profesional Arab Saudi berhasrat menandatangani Leo Messi dengan perbincangan membabitkan jumlah yang akan melebihi wang yang diterima Cristiano Ronaldo di Al Nassr.
Al Hilal yang berpangkalan di Riyadh dan Al Ittihad di Jeddah, dikatakan sanggup membayar pemain Argentina itu sekitar 350 juta Euro setiap musim.
Namun, kedua-dua kelab dikenakan sekatan oleh FIFA dan tidak boleh menandatangani pemain baharu sehingga musim panas ini kerana masalah operasi.
Malah, Al Hilal adalah kelab pertama cuba mendapatkan Ronaldo, tetapi sekatan FIFA menghalang kelab itu meneruskan usaha mendapatkan tanda tangannya yang kekal di Manchester United sehingga November lalu.
Media melaporkan bahawa pembelian Ronaldo bukan yang terakhir dan kelab utama lain di Arab Saudi juga mahu mengikuti trend pembelian pemain terkenal berikutan perkembangan pesat negara itu dalam bidang sukan.
Messi yang semakin selesa di Perancis dijangka terus kekal di PSG kerana mahu terus bersaing merebut kejuaraan di Eropah untuk semusim lagi.
Namun, kelab Arab Saudi yang mempunyai kekuatan kewangan tidak akan berputus asa dengan begitu mudah, terutama apabila kerajaan negara itu memutuskan untuk membuat komitmen yang jelas terhadap bola sepak.
Nama-nama lain yang muncul dalam tempoh beberapa minggu lalu, termasuk Luka Modric, Sergio Ramos, Angel Di Maria, Isco dan Sergio Busquets, manakala Luis Enrique dijangka dilantik sebagai jurulatih sebuah kelab negara itu. – MARCA











