
KANGAR: Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis memandangkan serius lebih 85 peratus peniaga di Arked Niaga Padang Besar didominasi peniaga dari Thailand.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, perkara itu berlaku sejak berpuluh tahun lalu.
Katanya kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut supaya ia tidak berulang lagi.
“Kita harap peniaga tempatan berniaga sendiri di premis yang mereka sewa, jangan ambil jalan mudah dengan menyewakan premis tersebut kepada orang lain.
“Mesti cari alternatif untuk memasarkan produk tempatan, jangan bergantung sepenuhnya produk dari Thailand,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini hari ini.
Menurutnya juga peniaga tempatan mungkin boleh menjual sebahagian barangan dari Thailand, namun mereka perlu kreatif untuk memasarkan produk tempatan kepada pelancong.
“Arked Niaga Lama kita perlukan masa untuk membuat perubahan tetapi untuk gedung perniagaan yang baharu kita akan pastikan peniaga tempatan akan berniaga.
“Saya difahamkan kebanyakan peniaga di situ mendakwa mereka hanya makan gaji, namun hakikatnya mereka memang berniaga di situ,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/1/2023











