
PEMUDA PAS Negeri Selangor membidas YB Teng Chang Kim atas hantaran beliau di facebook yang menunjukkan kebiadaban apabila mengaitkan isu arak dengan memperlekehkan solat secara langsung.
Hantaran di facebook milik YB Teng Chang Kim jelas biadab apabila sengaja memainkan sentimen agama dengan memperlekehkan umat Islam serta solat. Menerusi hantaran tersebut ditulis:
“Kalau kamu tak minum tapi tengok pun boleh mabuk, itu masalah kamu, bukan masalah arak. Sia-sia kamu sembahyang.”
Pemuda PAS Negeri Selangor menyokong dan mempertahankan tindakan YB Ustaz Muhammad Fawwaz tersebut kerana itulah juga antara apa yang dilakukan oleh Pemuda PAS Negeri Selangor selama ini di Negeri Selangor dalam isu-isu berkaitan arak dan kes-kes mabuk sama ada membantah, mengkritik serta memberikan solusi.
YB Teng Chang Kim nampak gaya, ‘banyak masa kosong’ dengan menyibukkan diri dalam isu berkaitan arak sekalipun ia di luar Negeri Selangor. Sedangkan isu arak ini jelas perkara yang mendatangkan kerosakan yang lebih besar ditambah lagi dengan isu-isu kemalangan jalan raya sehingga ada yang terkorban disebabkan kes mabuk.
Isunya ialah penjualan terbuka dan inilah yang kita tentang. Sama ada berbentuk penjualan mahupun pesta yang dianjurkan. Sebab itu Pemuda PAS Negeri Selangor malah seluruh negara pasti akan bangkit menentang hal yang sama.
Sebagaimana YB Teng Chang Kim sanggup ‘merentas negeri’ dengan hantaran yang biadab lagi celupar kerana ‘sayang sangat’ pada arak, maka kami Pemuda PAS Negeri Selangor juga bangkit mempertahankan YB Muhammad Fawwaz atas tindakannya dan akidah yang satu.
Malunya Negeri Selangor kerana sikap YB ini yang celupar, biadab serta memperlekehkan solat. Mana pergi Exco lain yang beragama Islam dalam Kerajaan Negeri Selangor yang lain untuk tegur?
Sudah jelas dalam banyak kali kenyataan media sama ada tulisan atau lisan sebelum ini bahawa betapa arak hanya lebih membawa kemudaratan sama ada moral syakhsiyah, nyawa malah ekonomi negara. Akal yang waras pasti tidak menerima arak itu sesuatu yang membawa kebaikan yang banyak.
USTAZ MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 11/1/2023











