
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin mengambil perhatian terhadap usaha untuk meningkatkan tahap kesejahteraan masyarakat.
Ini susulan beliau mengadakan perjumpaan secara rasmi dengan pasukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut yang diketuai oleh Pegawai Kesihatan daerah, Dr Amir Faisal Mohd Khairi, semalam.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud, ADUN Pulau Tawar, Ustaz Yohanis Ahmad dan ADUN Tahan, Ustaz Ahmad Zakhwan Badarddin.
Katanya, selain mendapatkan dengan lebih informasi mengenai PKD, beliau turut mengambil kesempatan untuk mendengar penjelasan dan perancangan lebih lanjut PKD untuk meningkatkan tahap kesejahteraan masyarakat di Jerantut.
Menurutnya, antara isu utama yang dibangkitkan oleh Pegawai Kesihatan Daerah ialah perkara-perkara berkaitan infrastruktur di kebanyakan klinik kesihatan yang telah beroperasi sejak tahun 70-an lagi.
Tambahan pula, ujarnya daerah Jerantut memiliki klinik kesihatan dan klinik desa yang paling banyak dalam negeri Pahang.
Di samping itu, kata beliau jaringan internet yang baik juga penting untuk melancarkan urusan di klinik-klinik desa sekitar Jerantut.
“Selain itu, isu kekurangan bilangan ambulans juga dibangkitkan yang memerlukan perhatian saya.
“Insya-Allah saya akan bangkitkan dalam sidang Parlimen kelak. Kita cuba sehabis baik membawa suara semua di Jerantut ini,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, semalam.
Khairil berharap pertemuan itu menjadi rutin bersama dan ia hanyalah permulaan,
Ini, ujarnya kerana beliau sendiri ada banyak perkara yang hendak dilaksanakan untuk rakyat Jerantut. – HARAKAHDAILY 10/1/2023











