
ARAU: Nama Ustaz Wan tidak asing lagi dalam kalangan penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Guar Sanji. Jarang orang tidak mengenalinya kerana kelibatnya mudah ditemui.
Pada penggal lepas hampir semua rumah penduduk di Dun Guar Sanji dijejaki untuk bertanya khabar atau menghulur sumbangan.
Maka tidak hairanlah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) beliau menang dengan majoriti sebanyak 5,101 undi berbanding PRU14 sebanyak 328 undi.
Adun Guar Sanji Ustaz Mohd Ridzuan Hashim sehingga sekarang meneruskan rutin harian dengan aktiviti ziarah sekiranya tiada mesyuarat atau menghadiri program kerajaan.
Ustaz Wan mudah didekati anak-anak muda atau orang tua. Malah masalah penduduk sering dibangkitnya setiap kali sidang Dun untuk membolehkan kerajaan mengambil tindakan.
Baru-baru ini beliau bersama wakil Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Guar Sanji turun padang meninjau cadangan penduduk supaya membina lintasan ke kawasan Kampung Padang Kilang.
Beliau turut singgah melihat usaha seorang peserta tanaman sayur hidroponik di Kampung Padang Besar.
“Saya memberi galakan supaya peserta supaya mengambil perhatian bantuan bahan input seperti khemah, para-para dan cawan sayur yang diberi kerajaan.
“Di kesempatan itu saya juga mendengar keluhan seorang ibu mengenai kos sara hidup yang tinggi sekarang,” katanya ketika ditemui di sini.
Sebelum itu Ustaz Wan bersama wakil ibu pejabat MADA Ampang Jajar, Nor Farah dan MADA Perlis mengadakan lawatan di tapak pelaksanaan projek terseier di Kampung Semut Gatal.
“Projek terbabit bermula selepas isu tatakelola pelaksanaan projek pengairan terseier dibangkitkan semasa mesyuarat di Dun Perlis sebelum ini.
“Ia melibatkan pembinaan longkang dan kor yang tidak menepati kepiawaian yang ditetapkan MADA,” ujarnya.
Beliau turut menghadiri majlis doa selamat sempena pembukaan bengkel bakeri yang diusahakan seorang anak muda bersama pasangannya di Kampung Belukar. – HARAKAHDAILY 4/1/2023











