Arsenal dahului tujuh mata, Newcastle tempat kedua

Eddie Nketiah meraikan gol ketiga Arsenal
- Advertisement -

Arsenal bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan West Ham United 3-1 dan terus melebarkan kelebihan Liga Perdana kepada tujuh mata.

- Advertisement -

Newcastle United pula melonjak ke tempat kedua selepas mengalahkan Leicester City 3-0 di tempat lawan untuk kemenangan keenam berturut-turut.

Harry Kane mengatasi kegagalan penalti Piala Dunia dengan membantu Tottenham Hotspur untuk seri 2-2 di Brentford, manakala Liverpool bangkit dengan kemenangan 3-1 di Aston Villa apabila pemain remaja, Stefan Bajcetic menyertai Mohamed Salah dan Virgil van Dijk sebagai penjaring.

Bekas jurulatih Real Madrid dan Sepanyol, Julen Lopetegui, bermula dengan cemerlang ketika mengendalikan Wolverhampton Wanderers selepas pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menenggelamkan Everton 2-1 melalui jaringan minit akhir Rayan Ait-Nouri, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Frank Lampard.

Selepas `gangguan’ Piala Dunia Qatar selama 44 hari, Liga Perdana disambung semula dengan ramai pemain kembali daripada tugasan antarabangsa dan Arsenal memastikan kecemerlangan berterusan.

Bekas pengurus, Arsene Wenger memerhati dari tempat duduk penonton Stadium Emirates ketika Arsenal, yang menduduki puncak pada Krismas buat kali pertama sejak musim 2007-08, bertindak balas terhadap penalti awal pemain West Ham, Said Benrahma.

Bukayo Saka menyamakan kedudukan dari jarak dekat pada minit ke-53 dan Gabriel Martinelli merembat masuk gol enam minit kemudian untuk meletakkan Arsenal di depan.

Eddie Nketiah menjaringkan gol ketiga Arsenal untuk melengkapkan kemenangan dan memastikan mereka mengekalkan rekod 100 peratus di tempat sendiri.

Arsenal meraih 40 mata daripada 15 perlawanan, tujuh mata di hadapan Newcastle yang bermain lebih satu perlawanan. Arsenal berada lapan mata di hadapan pasukan tempat ketiga, Manchester City, yang bermain 14 perlawanan.

“Kami menunjukkan ketenangan dan kualiti. Kami tidak bermain mengikut rentak permainan yang mereka mahu mainkan, kami terus mendesak, yakin dan berhak untuk menang,” kata Pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Bekas Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyaksikan permainan bekas kelabnya di Stadium Emirates

Newcastle terus rentak cemerlang

Joelinton, Miguel Almiron dan Chris Wood memastikan Newcastle meledak tiga kali pada separuh masa pertama menentang Leicester untuk membakar impian peminat mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara atau mungkin lebih tinggi daripada itu.

“Musim ini masih awal untuk semua kemungkinan itu bagi kami,” kata Eddie Howe yang telah mengubah nasib Newcastle sejak mengambil alih November lalu selepas kelab itu diambil alih oleh konsortium yang disokong pelaburan Arab Saudi.

Tottenham di tangga keempat bermula dengan mimpi ngeri di Brentford, tetapi sekali lagi melakukan kebangkitan. Kane dan Pierre-Emile Hojbjerg menjaringkan gol dalam tempoh enam minit pada babak kedua untuk membalas jaringan awal Vitaly Janelt dan Ivan Toney.

Ia adalah perlawanan pertama Kane sejak terlepas sepakan penalti dalam kekalahan suku akhir England kepada Perancis dalam Piala Dunia dan dia kelihatan telah melupakan mimpi ngerinya dengan menjaringkan melalui tandukan hebat.

Liverpool dengan rentak permainan cukup lancar melepasi cabaran Aston Villa untuk menduduki tempat keenam Liga Perdana.

Mohamed Salah menjaringkan gol pembukaan pada minit kelima selepas hantaran hebat daripada bek sayap, Trent Alexander-Arnold dan Robertson.

Pemain pertahanan, van Dijk menyumbat gol kedua Liverpool pada minit ke-37 dengan rembatan kaki kiri yang hebat selepas mendapat umpanan Salah. Ollie Watkins membalas untuk Villa, tetapi pemain tengah Sepanyol berusia 18 tahun, Bajcetic menyumbat gol ketiga Liverpool.

Fulham mendapat kemenangan 3-0 di Crystal Palace yang dua pemain dibuang padang, manakala Brighton & Hove Albion memperoleh kemenangan selesa 3-1 di Southampton yang terus di bawah. – REUTERS

- Advertisement -