Kerajaan disaran perbanyak program perpaduan kaum

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan disaran memperbanyakkan program berkaitan perpaduan kaum bagi merapatkan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria berkata, kerajaan negeri dan Adun disaran mengadakan program atau kempen integrasi nasional atau perpaduan kaum.

Katanya, ia bertujuan untuk merapatkan semula hubungan antara kaum di Perak.

“Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu memberi gambaran tidak sihat dan boleh membentuk ketidakstabilan politik yang menyaksikan gabungan parti politik membentuk satu polarisasi kaum.

“PRU15 menyaksikan 95 peratus pengundi bukan Melayu didapati menyokong Pakatan Harapan (PH), manakala hampir 70 peratus Melayu menyokong PERIKATAN NASIONAL (PN),” katanya pada sidang media selepas sidang DUN hari ini.

Sidang DUN Perak dijadualkan berlangsung 19 hingga 29 Disember ini. Perasmiannya disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri setelah menguasai 32 kerusi DUN bagi membentuk majoriti mudah. Jumlah kerusi tersebut dimenangi PH (23) kerusi dan BN (9).

Bagaimanapun PN menguasai 26 kerusi Dun. Dun Perak mempunyai 59 kerusi.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, rakyat negara ini dipisahkan kepada dua blok iaitu blok Melayu Bumiputra dan blok bukan Melayu.

Malah, katanya veteran DAP, Lim Kit Siang pernah menyebut negara ini akan berdepan dengan gelombang hijau.

“Pemimpin veteran itu mahu menyekat apa yang disebut sebagai Gelombang Hijau bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi Pilihan Raya Umum selepas ini,” katanya.

Sebelum itu ketika berbahas di sidang DUN, Razman mahu kerajaan menyatakan pendirian berkaitan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).

Ini kerana katanya Perak antara negeri paling banyak mengeluarkan pelajar lulusan itu. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -