
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkaitan pembentukan kerajaan negeri.
Timbalan Presiden PAS itu mewakili Majlis Tertinggi PERIKATAN NASIONAL untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan negeri Pahang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Pahang, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dalam hantaran di Facebook beliau, pagi ini.
“Berkaitan pembentukan kerajaan negeri Pahang, wakil Majlis Tertinggi PN Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Hari ini, akan diadakan perbincangan selanjutnya,” ujarnya yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.
Pada PRU15, PN Pahang memperoleh 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN (16) dan Pakatan Harapan (8).
Bagi DUN Tioman, proses pengundian akan dilaksanakan pada 7 Disember depan susulan kematian calon PERIKATAN NASIONAL, Md Yunus Ramli, awal pagi Sabtu. – HARAKAHDAILY 22/11/2022











