Rehat sementara BN, tolak tepi PH

- Advertisement -

HANYA lima hari lagi detik ditunggu lebih empat tahun lepas muncul lagi. Pilihan Raya Umum (PRU) musim tengkujuh adalah pilihan pemimpin utama Umno.

- Advertisement -

Desakan bertali arus Presiden Umno akhirnya Perdana Menteri akur. Ramai melihat Ismail Sabri seperti dipaksa. Namun dengan jawatannya sebagai Naib Presiden, kederatnya tidak ke mana-mana.

Belum pun hari mengundi dilangsungkan, sana sini sudah ramai penduduk berpindah kerana banjir. Mereka terpaksa menyelamatkan nyawa. Harta benda ditinggalkan di rumah.

Dalam situasi berdepan dengan segala kesukaran, tiba-tiba mereka juga diminta keluar mengundi. Maka kita dengar di mana-mana ramai orang mencemuh perdana menteri.

Mereka tidak tahu siapa yang mendesak PRU diadakan segera. Inilah bebanan yang terpaksa dipikul Ismail. Biarpun hati nuraninya bimbang musibah banjir, namun suara naib presiden tidak keramat.

Biarpun begitu ramai tahu. Ramai orang sudah maklum. Siapa aktor sebenar di sebalik tabir.

Dalam situasi Umno semakin hilang pengaruh, strategi Umno juga nampak kurang menyengat. Nekadnya meletak bekas pemimpin PAS yang ada masalah di Tumpat dan Kuala Nerus, perlu dibayar dengan harga mahal.

Sebelum ini pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi mencuba nasib di Tumpat pun ditolak rakyat. Pemimpin Umno Tumpat yang sudah lama memasang angan-angan menjadi calon, kini menekan brek.

Politik naungan

Ramai melihat banyak kepincangan tanpa sedar dilakukan pemimpin Umno. Kebimbangan juga dirasai ramai pengkaji politik.

Dalam situasi sekarang di mana lagi deposit tetap Umno. Pengaruh Umno di kawasan Felda juga merosot. Pensyarah Kanan UiTM Kampus Raub, Dr Che Hamdan Mohd Razali menjelaskan berdasar kajian dua siri PRU sebelum ini, sokongan peneroka Felda terhadap Umno susut.

Katanya tanah rancangan Felda menunjukkan trend penyusutan sokongan pengundi kepada Barisan Nasional (BN).

“Kawasan Felda trend sokongan pengundi sekitar 60.7 peratus pada PRU13 telah menurun kepada 46.2 peratus pada PRU14,” katanya.

Bagaimanapun pemimpin utama Umno nampaknya melihat sebaliknya. Mereka seperti amat yakin prestasi BN pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor sebelum ini.

PRN Johor mencatat peratusan keluar mengundi 54.92 peratus. Peratusan itu merangkumi 1,426,573 orang daripada jumlah keseluruhan pengundi yang layak mengundi di kesemua 56 kerusi DUN.

Begitu juga PRN Melaka menyaksikan jumlah peratusan pengundian 65.85 peratus atau 326,068 daripada 495,195 pengundi.

Jumlah di kedua-dua negeri jauh lebih rendah daripada jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 70 peratus keluar mengundi.

Sedangkan peratusan undi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, semua kerusi DUN di Melaka lebih 80 peratus. Persoalannya mengapa peratusan keluar mengundi rendah, antara faktornya wabak Covid-19.

Kedua, Undi-18 yang baharu diwarta sebagai pemilih pada 15 Disember 2021 masih keliru. Begitu juga pendaftaran pemilih secara automatik.

Maka dalam situasi pengundi bimbang Covid-19 dan keliru, Umno/BN kembali menerajui kerajaan secara solo di kedua-dua negeri. Maka teori serupa cuba diheret kepada seluruh negara. Inilah harga yang perlu dibayar presiden Umno.

Malah kemenangan bergaya BN dalam beberapa siri PRK sebelum ini tidak dapat dinafikan kerana Muafakat Nasional (MN). Ia bermula di PRK Cameron Highlands pada Januari 2019.

Pada PRK itu calon BN Ramli Mohd Noor menewaskan calon M Manogaran (PH) dan dua calon Bebas.

Biarpun Umno menang bergaya PRN Melaka dan Johor, namun tidak dinafikan berlaku perpecahan sokongan Melayu tradisional. Sepanjang lebih seminggu kempen PRU15, nampaknya banyak tempat gerak kerja Umno kurang semangat.

Ada tempat di Kota Bharu, hanya ketua cawangan seorang diri yang memasang bendera dacing. Siang hari cari buluh, malam pula pasang bendera dacing yang kelihatan lusuh.

Rapat umum anjuran Umno pun jarang kelihatan di Kelantan. Ia berbeza jauh berbanding PN-PAS dan PH. Pemimpin utama PH dan PN sudah menjejaki ke Kelantan, kelibat BN-Umno belum kedengaran lagi.

Kalau kita meneropong peluang di Kelantan, ramai melihat BN lebih selesa di Gua Musang. Machang belum tentu biarpun diwakili Pengerusi Umno Negeri Jazlan Yaakob.

Kita harus ingat tiga Dun yang terdapat di parlimen Machang dimenang PAS pada PRU lepas. Dun terbabit iaitu Temangan, Kemuning dan Pulai Chondong. Pemimpin akar umbi Umno tahu pemimpin mana yang paling awal menolak Muafakat Nasional (MN) kalau bukan dari Machang.

Tolak MN

Pada 22 Januari lepas Jazlan menyerah surat memutuskan hubungan MN di Kelantan. Sedangkan ramai pemimpin veteran Umno menangis ketika Piagam MN ditandatangani di PWTC 14 September 2019.

Mereka terharu. Tiba-tiba Jazlan menjuarai menolak MN. Rakyat Machang tahu semuanya itu.   

Semua parti kini berdepan amukan 6 juta pengundi muda berusia 18-29 tahun. Segmen itu paling ramai pengundi. Ramai menggambarkan kumpulan itu tiada iltizam politik.

Kelompok pengundi terbabit paling pantas mendapat maklumat daripada media sosial. Kalau disebut Umno, mereka mudah teringat 1MDB. Mereka juga tahu itu angkara Bossku.

Pengundi muda juga tahu siapa pemimpin Umno yang berulang alik ke mahkamah. Ketika nasib malang yang menimba Umno, apakah pengundi mahu mengintai PH pula.

Namun, ramai masih ingat trauma 22 bulan ketika PH menerajui Putrajaya selepas PRU14. Anak muda tahu komik kisah komunis ditemui di bangunan kerajaan negeri diterajui DAP di Pulau Pinang.

Begitu juga kisah tabur abu mayat Chin Peng. Biarpun ramai masih menaruh harapan kepada Anwar Ibrahim, namun mereka tahu DAP berada di belakangnya.

Tun Dr Mahathir yang pernah dikenali sebagai keras pun tidak mampu melayan kerenah DAP, inikan pula Anwar.

Ada khabar yang mendedahkan Tun meletak jawatan kerana berdepan dengan tekanan DAP dalam kerajaan PH. Maka pilihan yang ada sekarang hanya PN.

Muhyiddin Yassin membuktikan di era kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) pelbagai dana dikeluarkan bagi membantu rakyat. Paling rakyat ingat Pakej Makcik Kiah.

Pada Mac 2020 PN memperkenalkan Pakej Prihatin berjumlah RM250 bilion. Bantuan itu bagi meringankan beban rakyat yang terjejas angkara Covid-19.

Kesimpulannya, kita rehatkan BN dan tolak PH Sabtu ini. – HARAKAHDAILY 13/11/2022

- Advertisement -