PPR Machang, Batang Merbau diurus Syarikat Perumahan Negara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengangkat kesemua 505 nama pemohon Program Perumahan Rakyat (PPR) Machang dan PPR Batang Merbau yang memenuhi syarat ditetapkan kepada Jabatan Perumahan Negara.

- Advertisement -

Pada surat yang bertarikh 16 Mac 2020 memaklumkan senarai nama pemohon iaitu 418 orang bagi PPR Machang dan PPR Batang Merbau (87 orang).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, dan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Izani Husin berkata, semua permohonan tersebut ditapis mengikut kelulusan dan pertimbangan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Namun katanya, selepas kedua-dua PPR terbabit diuruskan sepenuhnya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) seperti mana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri 14 April 2021, kerajaan negeri tidak lagi diberi maklum sebarang maklumat berkaitan perkara tersebut.

“Bahagian Perumahan menerima surat daripada KPKT bertarikh 30 April 2021 yang menyatakan Jemaah Menteri bersetuju konsep cadangan baharu penjualan unit-unit (PPR) Batang Merbau dan PPR Machang dengan harga RM43,000 seunit yang akan diuruskan sepenuhnya SPNB.

“Konsep cadangan baharu penjualan itu adalah secara konvensional kepada pemohon yang layak dan berjaya mendapatkan pinjaman bank.

“Manakala penyewaan selama setahun bagi peserta yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan, dengan jangkaan proses akan bermula mulai 1 Mei 2021,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Oleh itu kata beliau tidak timbul sebarang kesalahan terhadap pengurusan kedua-dua PPR berkenaan.

Baru-baru ini Ketua Umno Machang, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub dilapor meletakkan kesalahan ke atas kerajaan negeri terhadap pengurusan kedua-dua PPR berkenaan.

Sedangkan kata Dr Izani PPR terbabit diuruskan sepenuhnya Syarikat Perumahan Negara Berhad dan bukannya Bahagian Perumahan SUK sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 14 April 2021. – HARAKAHDAILY 13/11/2022

- Advertisement -