Hanya satu pilihan

- Advertisement -

KETIKA berada di bangku sekolah dahulu, setiap kali berhadapan dengan musim peperiksaan, salah satunya cikgu akan berkongsi tips menjawab soalan objektif aneka pilihan kepada para pelajar.

- Advertisement -

“Pertama sekali jika berjumpa dengan soalan berbentuk sebegini, apa yang perlu kamu buat mula-mula sekali adalah tutup dahulu jawapan yang salah. Ini bagi mengelakkan kamu keliru.

Next, lihat pilihan jawapan seterusnya. Saya ulang sekali lagi, tutup jawapan yang salah, fokus pada satu jawapan yang betul. Ia ada di situ, bismillah, pangkah!”

Contoh soalan:

Parti manakah yang telah berjaya melupus hutang peneroka FELDA di Malaysia?

  1. PERIKATAN NASIONAL
  2. PERIKATAN NASIONAL
  3. CANMALICAN
  4. DADIDU
  5. EEEEEE….

Pilihan jawapan:

  1. C dan D
  2. D dan E
  3. C, D dan E
  4. A dan B

“Saya ulang, tutup jawapan yang salah, fokus pada satu jawapan yang betul. Bismillah, pangkah!”

Pilihan Raya Umum ke-15 bakal berlangsung pada 19 November ini, kurang lebih 17 hari sahaja lagi. Ia adalah pilihan raya paling penting dalam sejarah, menurut Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata ketika berucap pada majlis pengumuman calon PERIKATAN NASIONAL untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di MITEC, negara perlu diurus oleh pemimpin yang bukan hanya bijak pandai tetapi memenuhi ciri-ciri dan sifat amanah.

Jelas beliau, rakyat bertanggungjawab memilih pemimpin manakala tanggungjawab parti politik menyediakan pimpinan dengan memastikan calon-calon yang bakal dipilih rakyat nanti adalah benar-benar berwibawa, memenuhi ciri-ciri dan kriteria sepatutnya yang rakyat mahu.

Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al Bakri di dalam tulisannya, `Fiqh Politik – 5 Membentuk Kerajaan ‘Acuan Musa’ Pasca PRU – 15 Bukan Tugas Mudah’, menurutnya secara realiti, hampir mustahil untuk membentuk sebuah kerajaan dengan wibawa jalinan al-Qawi dan al-Amin.

Al-Qawi diterjemahkan oleh beliau sebagai kompeten. Seorang pemimpin yang kompeten adalah pemimpin yang memiliki kekuatan, kemampuan, kemahiran, pengalaman, dan kebijaksanaan dalam menjalankan amanah, sesuai dengan bidang tugasnya. Kelayakannya diakui semua.

Manakala al-Amin pula adalah integriti. Sifat kedua ini bahkan lebih utama dan perlu menjadi pelengkap kepada sifat pertama. Negara yang ditadbir pemimpin yang ada kompetensi tanpa integriti bakal merosakkan masa depan anak bangsa.

Tulis Dr. Zulkifli, negara yang ditadbir oleh pemimpin yang ada integriti tanpa kompetensi, tidak akan ke mana-mana. Kedua-dua sifat ini sudah pasti perlu dibuktikan dan sudah pun terbukti.

`Abah’ telah membuktikan bahawa beliau adalah abah kesayangan rakyat Malaysia, terbaik dan cemerlang menjaga kebajikan anak-anak ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

Menteri Air Dan Alam Sekitar (KASA), YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah menunjukkan bukti bahawa golongan ustaz juga layak memimpin dan mentadbir jabatan kerajaan dengan begitu cemerlang sekali.

Ia diakui dunia melalui pengikhtirafan antarabangsa daripada United Nations Environment Programme (UNEP) melalui anugerah Asia Environmental Enforcement Awards 2020.

PERIKATAN NASIONAL terdiri daripada dua gabungan mantap parti politik bumiputera Islam iaitu PAS dan BERSATU selain dibantu parti GERAKAN serta STAR dan SAPP, rakan-rakan bersekutu dari kalangan non-Muslim.

Gabungan dua parti kerajaan yang cukup berkaliber, PAS, yang menjangkau usia 70 tahun berada di persada politik tanah air dan parti BERSATU walaupun baru setahun jagung, tidak pernah mendakwa bahawa mereka adalah parti unggul dan terlalu ideal serta cukup sempurna.

Sebagai sebuah parti politik yang lahir, diacu dan dibentuk daripada tangan-tangan dan aspirasi manusia, secara fitrahnya sudah pastilah ada kekurangan dan kelemahan di mana-mana.

Walau bagaimanapun, PERIKATAN NASIONAL telah membuktikan bahawa mereka adalah gabungan parti kerajaan yang paling boleh diharap oleh rakyat Malaysia mentadbir dan memerintah negara untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Kata Dr. Zul, Al-Qawi mungkin ada pada Parti A, al-Amin pula bersama dengan Parti B. Benar, tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang mudah. Tetapi ia tidak mustahil!

Pilihan terbaik sudah ada di depan mata, kuasa ada di tangan rakyat. Semoga tips menjawab soalan objektif aneka pilihan yang penulis kongsikan di awal tadi mampu memberi petunjuk kepada para pengundi.

Tutup jawapan yang salah, fokus pada satu jawapan yang betul. Bismillah, pangkah!

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -