Pencarum PERKESO perlu tahu kemudahan layak diterima

- Advertisement -

Oleh ASRENNA YUN

- Advertisement -

BATU SAPI: Keluarga pesakit kronik yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlu mengambil tahu kemudahan yang layak mereka terima ketika berada dalam pelbagai situasi.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, banyak kes berlaku, pencarum tidak melaporkan kepada PERKESO akibat kurang pengetahuan mengenai hal itu.

“Keluarga pesakit tidak mendapat kefahaman yang jelas jenis kemudahan yang layak mereka terima ketika berada dalam situasi ini.

“Hal ini menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan sejumlah kos yang besar untuk menjalani rawatan perubatan, dan ini sangatlah berat untuk ditanggung bagi mereka yang mempunyai pendapatan yang cukup-cukup sahaja,” ujarnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Batu Sapi.

Beliau telah mengambil inisiatif untuk melaporkan dua kes pesakit kronik kepada PERKESO Sandakan untuk tindakan segera.

Kelmarin, Norsah bersama PAS Batu Sapi dan Unit Pemulihan PERKESO telah membuat lawatan ke rumah dua orang pencarum terlantar sakit.

Menurutnya, antara jenis bantuan yang layak diterima oleh pesakit adalah seperti lampin dewasa, susu, kerusi roda untuk pesakit mandi, peralatan rawatan, pampasan kehilangan pekerjaan dan wang pencen.

“Saya berharap agar usaha ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang memerlukan. PAS Kawasan Batu Sapi sentiasa berusaha untuk menghulurkan khidmat bantuan kepada yang memerlukan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2022

- Advertisement -