
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, beliau telah menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14, tengah hari semalam.
Katanya, selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan itu supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing- masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.
“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” ujarnya ketika menyampaikan Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung melalui saluran stesen televisyen tempatan.
Sementara itu, ujarnya penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera.
Menurutnya lagi, mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.
“Proses ini berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan,” tambahnya.
Beliau berkata, pembubaran itu dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.
“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.
“Akhir kalam, dengan penuh keinsafan, pengharapan dan tawakal, saya mendoakan semoga seluruh Keluarga Malaysia dan negara sentiasa dipayungi rahmat, dilimpahi berkat.
“Semoga disuburkan hati kita untuk terus mendukung agenda besar pencapaian kemakmuran serta kemajuan Malaysia yang tercinta,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/10/2022











