Agong zahir rasa kecewa perkembangan politik semasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa.

- Advertisement -

Datuk Pengelola Bijaya Diraja lstana Negara Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Beliau memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di lstana Negara, semalam.

Katanya, dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula jam 12.00 tengah hari itu, Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa pada hari ini.

Menurutnya, setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa baginda sebagal Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil,” ujar beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, petang ini.

Justeru, katanya Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini.

Tambahnya, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseiuruhannya.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/10/2022

- Advertisement -