
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan lebih 6,000 pusat pemindahan sementara (PPS) serta bantuan lain kepada mangsa banjir di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, persiapan banjir melibatkan pelbagai agensi sama ada di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan akan digerakkan bersama.
Begitu juga katanya, persiapan depoh-depoh bekalan makanan khususnya peralatan untuk diagih ke pangkalan hadapan telah siap di seluruh negara.
“Kita berdoa agar semuanya berjalan lancar. Bagaimanapun kita berharap banjir tahun ini tidak berlaku banjir besar,” katanya ketika ditemui di sini.
Pada masa yang sama beliau berharap orang ramai mengadakan solat hajat bagi memohon perlindungan daripada kemungkinan banjir berlaku di luar jangka.
Menurut Siti Zailah juga kementeriannya membuat persediaan melibatkan pegawai psikologi untuk melaksanakan intervensi krisis bagi membantu melaksanakan sokongan moral serta pemulihan psikologi mangsa-mangsa banjir.
“Nasihat saya kepada penduduk yang terlibat di kawasan banjir sekiranya air naik orang ramai perlu berpindah ke PPS yang disediakan kerajaan.
“Di daerah Pasir Mas sahaja kita ada 31 pusat pemindahan yang digazetkan untuk menempatkan mangsa banjir dan seluruh negara kita ada lebih 6,000 pusat pemindahan yang kita gazetkan berbanding tahun lepas hanya 5,500.
“Jadi kalau keseluruhan PPS itu kita dapat memanfaatkan 1 juta mangsa banjir yang boleh kita tempatkan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/9/2022











