
MAC lalu, saya telah bangkitkan isu gaji jurutera di bawah paras garis kemiskinan di Dewan Rakyat.
Pagi semalam saya mendapat berita baik di mana BEM (Board of Engineers Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan positif dalam usaha untuk menangani isu kebajikan jurutera dengan mengenal pasti kesahihan gaji di bawah paras kemiskinan, mencari punca dan memberi cadangan untuk mengatasi masalah kebajikan isu jurutera ini.
Suka dimaklumkan, hasil kajian yang dikemukakan oleh BEM adalah selari dengan huraian di dalam kertas cadangan yang telah dimuat naik di laman sesawang Jabatan Profesional Muda https://www.jpro.org.my/kertas-polisi/.
Antara kenyataan BEM yang menarik untuk saya tekankan di sini ialah BEM mencadangkan penyelesaian jangka pendek dengan mencadangkan majikan menawarkan gaji sekurang-kurangnya gaji permulaan dalam julat RM2,500 -RM3,500 serta BEM amat menggalakkan gaji permulaan yang lebih tinggi dari julat ini.
Selain itu, BEM turut menggesa proses pindaan Akta 138 agar dapat dilakukan dengar segera untuk memperkasakan fungsi BEM. Di pihak kerajaan, saya melihat respon ini sangat baik kerana sudah pasti saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen lain selaku pihak legislatif akan sebulat suara untuk memperkasakan Akta 138.
Skala fi kejuruteraan juga telah disentuh oleh BEM di mana menurut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia: Kos perkhidmatan Perunding telah menggariskan kadar permulaan gaji pokok jurutera adalah RM3,335.00 sebagai rujukan majikan.
Tahniah BEM! Saya menggesa semua pihak baik dari NGO mahupun agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk kita bersatu dalam isu ini untuk memperbaiki nasib jurutera di Malaysia yang merupakan tunjang bagi pembangunan infrastruktur dan teknologi negara.
YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 15/9/2022











