
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
TUMPAT: Aduan penduduk mengenai masalah bekalan air di beberapa kampung di Dun Kelaboran mendapat perhatian segera kerajaan negeri.
Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan berkata, antara usaha dilakukan bagi menangani masalah itu iaitu membina unit telaga di lokasi tangki air Kampung Laut yang melibatkan kos RM600,000.
Katanya, kerja-kerja pembinaan telaga terbabit siap pada Jun lepas.
Bagaimanapun tambahnya, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) masih menunggu pam khas air yang diimport daripada Amerika Syarikat yang dijangka tiba November hadapan.
“Ketika water pumping test yang diadakan baru-baru ini selama tiga hari, telaga berkenaan didapati mengeluarkan air sebanyak 0.3 juta liter sehari (MLD).
“Sebahagian air dibekalkan kepada penduduk di Pulau Teluk Renjuna, manakala selebihnya akan disalurkan kepada penduduk sekitar Kampung Laut,” katanya di sini.
Menurutnya juga paip dari tangki ke paip yang menghubungkan ke Kampung Teluk Renjuna turut dipasang.
Adanan berkata, aduan yang dibangkitkan penduduk mengenai masalah bekalan air sentiasa diberi perhatian bagi memastikan kehidupan harian mereka tidak terjejas. – HARAKAHDAILY 13/9/2022











