
KUALA TERENGGANU: Penjaga gol Terengganu FC (TFC) Rahadiazli Rahalim bertekad memburu gelaran pertama kariernya pada perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.
Malah penjaga gol paling muda Liga Super itu berazam membantu skuad Penyu menamatkan penantian 11 tahun untuk menjulang piala berprestij tersebut yang kali terakhir dimenangi pasukan itu pada 2011.
Walaupun belum cergas 100 peratus akibat kecederaan ketika bertemu pasukan Melaka United Sabtu lepas, Rahadiazli yang juga penjaga gol skuad negara Bawah 23 Tahun (B-23) sudah memulakan latihan malam tadi dengan dipantau pasukan perubatan TFC.
“Alhamdulillah latihan berjalan dengan baik. Saya tidak merasakan apa-apa kesakitan dan yakin mampu beraksi di final Piala FA nanti,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Rahadiazli yang mesra dipanggil ‘Abe’ dalam kalangan rakan dan peminat bola sepak Terengganu, berkata beraksi pada pentas akhir itu juga mengubati kekecewaannya selepas terlepas peluang mewakili negara dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 akibat kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
“Sejujurnya saya sudah berangan-angan untuk bermain di pentas final sejak berusia 10 tahun selepas menyaksikan perlawanan Piala FA antara Terengganu dengan Kelantan di televisyen,” katanya. – BERNAMA











