Bina ukhuwah penting ketika PAS di era kemenangan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Perpaduan ummah bukan hanya penyatuan bersama parti lain sebaliknya perlu dipraktikkan oleh diri sendiri.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, membina perpaduan dan ukhuwah sesama sendiri mahupun pihak lain amatlah penting terutama ketika PAS di era kemenangan.

“Ini adalah realiti yang dihadapi oleh jemaah sebagaimana disebut oleh lajnah tarbiah dalam ucapannya ‘serendah-rendah tahap ukhuwah itu adalah berlapang dada’ tetapi masih tidak boleh dilakukan sempurna,” ucapnya pada sesi penggulungan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.

- Advertisement -

Ujarnya lagi, pertelingkahan yang berlaku di peringkat kawasan sama ada dewan-dewan mahupun cawangan adalah satu yang tidak menyenangkan hati dan perlu dielakkan.

Kata beliau lagi, sekiranya masih terus bertelingkah tentulah sukar untuk mendapatkan tawaran Nabi Muhammad SAW sepertimana yang disebut baginda, ‘sebaik-baik sahabat empat orang, sebaik-baik pasukan 400 orang dan sebaik-baik tentera 4,000 orang, maka pasukan berjumlah 12,000 tidak mudah dikalah’.

“Nabi Muhammad SAW memberi jaminan jumlah 12,000 orang dalam satu pasukan tidak mudah dikalahkan dan perkara ini ditujukan kepada para pejuang Islam yang jumlahnya sedikit berbanding pihak lawan,” tegas beliau lagi.

Justeru, katanya setiap ahli PAS perlu berusaha bagaimana untuk mendapatkan ‘serendah-rendah ukhuwah’ agar berlaku sama rata dengan rakan-rakan lain dalam semua hal.

Sementara dalam perkembangan lain, Nuridah turut menyentuh berkenaan 30 peratus calon wanita pada PRU15 nanti.

Hal itu kata beliau bertepatan berikutan pengundi wanita melebihi daripada pengundi lelaki di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu beliau mengharapkan calon-calon wanita yang akan diketengahkan mestilah mereka yang boleh menang serta hampir menang pada PRU lalu.

DMPM juga, tegasnya kini menumpukan kepada gerakan wanita muda yang memberi fokus kepada pengundi muda selain tidak mengabaikan pengundi wanita yang lain. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -