PAS tambah calon anak muda, wanita di kerusi boleh menang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, persediaan parti bukan sahaja bagi mencapai kemenangan tetapi lebih penting lagi kemampuan mengisi kemenangan yang berintegriti berbekalkan iman, ilmu dan akhlak yang mulia.

“Di sini peranan calon yang layak sangat penting dengan memenuhi syarat ‘boleh menang’, ‘boleh diterima’, dan ‘boleh mentadbir’ bagi mengisi kemenangan dalam memimpin negara dan negeri.

“Manakala kalangan yang berwibawa dan profesional dalam PAS tidak akan tercicir dan terus menyumbang dalam konsep Kerajaan Teknokrat yang tidak semestinya menjadi calon dan wakil rakyat sahaja,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

- Advertisement -

Tambah beliau, PAS juga akan meningkatkan jumlah calon daripada anak muda dan wanita untuk bertanding dengan kerusi boleh menang bagi menarik sokongan anak muda dan wanita sebagai undi penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun paling penting, ujarnya persediaan jentera pilihan raya di Parlimen dan Dun sasar menang hendaklah mempunyai kekuatan organisasi, petugas bagi setiap Unit Daerah Mengundi (UDM), pasukan kempen yang cekap dan berkesan, gerak gempur pemilih dan penculaan bersepadu.

PAS juga, kata beliau hendaklah menguasai pengundi tidak berparti (PTB) dengan melaksanakan pendekatan berilmu, bermaklumat tidak menipu, berkebajikan dan kepimpinan yang mesra dan cakna rakyat.

Maka, ujarnya Pusat Khidmat Masyarakat perlu bergerak aktif dan berkhidmat secara efektif kepada semua rakyat, termasuk PTB.

Selain itu, tambah beliau PAS hendaklah mesra NGO dan boleh bekerjasama bagi mendekati kumpulan PTB menerusi aktiviti yang tidak berbau kepartian.

“PAS juga mengambil kira saiz pengundi warga emas yang semakin meningkat di setiap Parlimen/DUN, maka jentera pilihan raya perlu menyantuni pengundi warga emas dengan memperkasa Pasukan Kempen Assabiqun bagi mencapai sasaran strategik kemenangan di Parlimen dan DUN PAS bertanding,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata, bagi menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam, PAS akan terus membuktikan kemampuan untuk menjuarai isu-isu rakyat, urus tadbir yang baik, memberikan khidmat kebajikan, melaksanakan konsep adil untuk semua dan membuktikan jaminan hak beragama kepada bukan Islam tidak akan tergugat di bawah kepimpinan parti.

“Kepada rakan-rakan bukan Islam, berilah peluang kepada PAS untuk melaksanakan pendekatan Islam yang lebih baik dan adil dan lihatlah kegagalan ideologi ciptaan manusia yang tidak ada kaitan dengan agama dan bangsa sendiri.

“Dalam hal ini, Islam mengajar kita bahawa manusia terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk walaupun berbagai kaum, agama dan bangsa.

Tambahnya, PAS mesti memulakan langkah dalam usaha untuk memenangi hati rakyat secara seluruhnya.

“Antara perkara yang perlu kita fokuskan adalah memberikan khidmat kepada masyarakat secara lebih dekat untuk menarik seramai mungkin masyarakat supaya bersama.

“Kita juga mesti menguasai dan memanfaatkan teknologi maklumat terutamanya melalui media sosial supaya mesej sampai kepada masyarakat.

Menurutnya, inisiatif Projek KAWAN yang dipelopori oleh Lajnah Perpaduan Nasional adalah usaha berterusan PAS untuk melatih ahli akar umbi supaya sentiasa mengikuti Sunnah Nabi SAW dalam menyantuni kalangan bukan Islam di peringkat cawangan dan kawasan, di samping program dialog, wacana dan ziarah secara berkesan dan berterusan. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -