
ALOR SETAR: Lajnah Penerangan dalam konteks seperti sebuah kerajaan bukan hanya merupakan Kementerian Penerangan, tetapi juga adalah Kementerian Pertahanan yang menyediakan tentera.
Perwakilan PAS Perak, Ustaz Fairuz Hafizh Othman menegaskan, ketumbukan tentera ini mesti berjuang dan mempertahankan serta berperang dengan situasi semasa ini iaitulah bukan peperangan senjata.
“Kita tidak akan terbunuh dalam medan ini, tetapi peperangan di medan ini bakal merobek maruah dan harga diri kepercayaan dan ketaatan serta kesetiaan yang sebelum ini tidak pernah berbelah bahagi.
“Zaman telah berubah. Mungkin suatu ketika dahulu kita berbangga dengan perhimpunan dan ceramah yang menghimpunkan ribuan pendengar, namun kita tidak menang dalam suasana itu.
“Kita barangkali boleh berbangga dengan perhimpunan yang mampu menjemput ratusan ribu penyokong kita. Namun ia hanya berlegar di sekeliling kelompok kita. Kemudahan teknologi telah merubahkan pendekatan semasa.
“Kita sudah boleh bertemu dengan pengundi dari bilik rumah dan bilik markas kita. Namun persoalannya adakah mereka berminat untuk berbual dan mendengar perkongsian daripada kita?
“Semua kita mengakui malah kepimpinan telah berulang kali menyatakan bahawa kegagalan menguasai penerangan dalam pilihan raya yang lalu adalah asas yang menyebabkan kita gagal untuk mencapai kemenangan.
“Semua menyedari bahawa Pakatan Harapan bukanlah punyai kekuatan jentera yang hebat. Namun kejayaan mereka memanipulasi dan menguasai media telah menyebabkan mereka berjaya untuk menguasai kerajaan,” ujarnya.
Beliau yang juga Setiausaha PAS Perak dan Setiausaha Politik PAS berkata, rakyat pada ketika itu begitu kecewa dengan Barisan Nasional, namun untuk meletakkan harapan dan kepercayaan kepada PAS, mereka masih lagi sangsi.
Kerana menurutnya, tidak dapat mengemukakan keyakinan kepada mereka walaupun PAS mempunyai kerangka Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) yang tidak dimiliki oleh parti lain.
PAS juga katanya, punyai kerangka Dokumen Hijau yang begitu baik untuk diaplikasikan dalam negara demi menyelamatkan ekonomi yang berada dalam gelombang kemusnahan pada ketika itu.
“Namun kejayaan pakatan harapan menguasai dan memanipulasi sehingga berita yang tidakmwujud fitnah seperti berita RM90 juta sebagainya telah berjaya lekat dalam minda masyarakat.
“Sebab itu kita menegaskan sekali lagi bahawa betapa perlunya kepercayaan untuk kita menguasai media penerangan ini dalam bentuk baru,” tegasnya lagi.
Beliau menyeru supaya semua kepakaran yang ada di dalam PAS digabungkan bagi melaksanakan kerja-kerja penerangan pada masa ini. – HARAKAHDAILY 3/9/2022











