
PADA 26 Ogos 2022, saya meluangkan masa berada dalam Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pasir Mas. Turut hadir bersama saya ialah Encik Said bin Sidup; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Dato’ Dr. Haji Wan Mansor bin Hamzah; Pengerusi PAWE Pasir Mas, barisan pegawai JKM, serta para AJK PAWE Pasir Mas.
Saya dimaklumkan PAWE Pasir Mas ini telah dinobatkan sebagai PAWE paling aktif Peringkat Negeri Kelantan pada tahun 2021. Sejak tiga tahun beroperasi, PAWE Pasir Mas giat melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti tadarus al-Quran, melatih pasukan nasyid dan marhaban, bersenam sihat setiap minggu serta menjalankan aktiviti keusahawanan dan perniagaan melalui projek penternakan madu kelulut dan menanam nanas. Syabas dan tahniah saya ucapkan.
Untuk makluman semua, sejak penubuhan sehingga Disember 2021, seramai 50,929 warga emas telah berdaftar dengan 153 buah PAWE di seluruh negara. Negeri Kelantan merupakan antara negeri yang paling banyak mempunyai Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang memberi manfaat kepada warga emas di komuniti iaitu sebanyak 12 buah PAWE.
Sebagai usaha dalam memberi penghargaan kepada warga emas, Kerajaan bercadang mewujudkan 222 buah PAWE di setiap kawasan Parlimen (1 Parlimen, 1 PAWE). Kerajaan juga sekali lagi telah meluluskan penubuhan 1 buah PAWE iaitu PAWE Kota Bharu di Kelantan bagi tahun 2022 menjadikan keseluruhan PAWE di Kelantan berjumlah 12 buah menjelang 2023.
Bagi menjamin PAWE Pasir Mas untuk terus aktif dan produktif, KPWKM melalui JKM telah menyalurkan bantuan kewangan bagi pengoperasian PAWE Pasir Mas bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM50,000.00. Saya berharap dengan adanya PAWE di Pasir Mas dapatlah digunakan oleh warga emas untuk mengikuti aktiviti dan program yang boleh meningkatkan kualiti hidup warga selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif.
DATUK SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 29/8/2022

















