
BESUT: Masalah pencemaran sungai di Terengganu masih terkawal dan tahap kebersihan 729 sungai di negeri ini berada dalam keadaan yang memuaskan.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata keadaan itu tidak boleh dipandang mudah dan ia perlu dikekalkan serta dipelihara secara berterusan oleh semua pihak.
“Belum ada sungai di negeri ini termasuk sungai yang menjadi sumber air dilaporkan tercemar teruk sebaliknya kebanyakannya berada pada tahap bersih dan ada sedikit tahap sederhana.
“Tapi kadang-kadang ada segelintir masyarakat sengaja membuang sampah ke dalam sungai atau alur, ada juga pengusaha restoran yang mengalirkan sistem kumbahan ke sungai dan ini sudah tentu akan merosakkan kualiti air sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Sungai Sedunia (HSS) 2022 peringkat negeri di Sungai Dendong dekat sini, yang turut dihadiri Pengarah Pengairan dan Saliran negeri, Hanizan Deraman.
Mamad berkata sambutan HSS diadakan bagi memupuk semangat tanggungjawab bersama antara kerajaan dengan rakyat dalam memastikan sungai dan persekitarannya yang lestari.
“Selain itu ia juga meningkatkan kesedaran penjagaan sungai, menghargai sungai serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menjaga sungai di kawasan setempat,” katanya.
Sementara itu katanya, Terengganu mempunyai sebuah agensi dikenali Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) yang bertanggungjawab menjaga sumber air melalui tugas pemantauan dan penguatkuasaan.
“LAUT memainkan peranan dalam memastikan supaya tidak ada pihak industri atau perusahaan dan perlombongan membuang sisa buangan mereka terus ke sungai,” katanya.
Besut merupakan daerah yang memiliki bilangan sungai tertinggi di negeri ini, iaitu sebanyak 264 batang sungai sepanjang 1,168.07 kilometer (km), diikuti Setiu sebanyak 160 sungai (900.73 km), Dungun 88 sungai (875.10km), Kuala Terengganu 85 sungai (420.43 km), Hulu Terengganu 51 sungai (605 km), Kemaman 48 sungai (666.50km) dan Marang 34 sungai (251.06 km). – BERNAMA











