
PAS yang kini bersama Kerajaan Persekutuan teruk dihentam apabila konsert hedonisme Billie Eilish telah berjaya berjalan minggu lepas. Banyak mulut-mulut yang mengatakan PAS hanya lantang bercakap tika menjadi pembangkang dan kecut berdiam diri dengan kemungkaran sewaktu menjadi kerajaan.
Pertamanya perlu disedari, tanggungjawab menolak maksiat dan merungkai kemungkaran bukan tanggungjawab PAS semata-mata. Akan tetapi ia adalah tanggungjawab besar yang ditanggung setiap umat Islam dan kumpulan yang disertai umat Islam:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”
(Riwayat Muslim (78))
Maka apabila ada tersebarnya maklumat dan berita bahawa sebuah konsert sekian-sekian akan dijalankan atau telah berjalan, kita tidak boleh menuding jari kepada sesetengah pihak namun dalam masa sama kita sendiri diam dan tiada tindakan untuk mencegah kemungkaran itu. Jika kita berkelakuan sebegini, ketahuilah itu petanda kita ada penyakit hati.
Yang kedua dan yang paling utama, perlu difahami rakyat Malaysia, PAS sebagai salah satu wakil kerajaan telah menjalankan sehabis baik kapasiti dan kuasa yang ada untuk mencegah konsert sebegini daripada dijalankan. Bagi sebarang kelulusan bagi pelaksanaan konsert di Malaysia adalah tertakluk bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKOM). Di bawah KKOM pula terdapatnya Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang ditugaskan untuk meneliti hal ehwal berkenaan menyelaras permohonan penggambaran filem dan persembahan artis luar negara.
Jawatankuasa PUSPAL (JK-PUSPAL) yang kini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKOM turut dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti 1 orang wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Bagaimana pula dengan AJK lain yang beragama Islam? Andai antara AJK lain itu mempunyai kefahaman Islam yang jelas nescaya mereka tidak akan bermudah-mudah dalam meluluskan penganjuran konsert. Kenapa hanya perlu bergantung kepada wakil JAKIM?
Yang ketiga, PAS apabila berkuasa penuh akan mampu melaksanakan program hiburan yang menepati garis panduan syarak. Negeri Kelantan dan Terengganu yang telah lama dan lebih kukuh penguasaan oleh PAS telah mengeluarkan garis panduan hiburan selaras dengan syarak. Konsert-konsert boleh sahaja hendak dijalankan di Kelantan dan Terengganu tetapi mesti patuh panduan ini, jika bukan konsert pun, orang Kelantan dan Terengganu boleh berhibur dengan cara tersendiri. Dan hal ini sememangnya terbukti menerusi penganjuran konsert Mawi pada era pemerintahan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz serta pelaksanaan bual Bicara santai oleh Zizan Razak dan tokoh dakwah negara Ustaz Azhar Idrus yang dihadiri ribuan orang ramai di Terengganu pada malam yang sama dengan konsert Billie Eilish.
Ini tandanya, PAS jika diberikan kuasa penuh dan dominan boleh mencorak hala tuju pemerintahannya dengan lebih baik.
Yang terakhir, kita dimaklumkan dengan gelombang-gelombang konsert besar yang akan tiba dalam negara. Negara tidak perlukan hiburan hedonisme kosong yang membazirkan wang dan merosakkan jiwa. Maka, sesuai dengan realiti semasa dan desakan orang ramai. PAS amat memerlukan desakan dan tekanan daripada umat Islam yang lebih ramai agar seluruh barisan Kabinet dan kemenangan berkaitan sedar bahawasanya rakyat tidak mahukan hiburan melalaikan. Ayuh bersama mencegah kemungkaran!
“Moving Forward”
PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 25/8/2022











