
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Ustaz Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman atas kembalinya ke rahmatullah, petang semalam.
Pemergiannya, kata beliau adalah satu kehilangan yang amat besar memandangkan Almarhum adalah seorang tokoh yang amat banyak jasanya dalam perjuangan mendaulatkan Islam.
“Almarhum terlalu banyak jasa terutama dalam perjuangan mendaulat Islam bersama PAS,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Menurutnya, Almarhum juga tokoh utama yang bergandingan bersama Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat ketika mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1990.
Tambahnya, dasar yang dibawa iaitu Membangun Bersama Islam kekal hingga ke hari ini sebaik sahaja negeri itu diterajui PAS ketika itu.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengurniakan sebesar-besar ganjaran atas amal baktinya kepada Islam dan masyarakat.
“Mudah-mudahan keluarga yang ditinggalkan terus bertabah dan dikurniakan pahala atas kesabaran daripada kehilangan ini,” ujarnya lagi.
Ustaz Abdul Halim, 83, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Kota Bharu kira-kira jam 3.40 petang tadi. – HARAKAHDAILY 23/8/2022











