UniMAP perkenal e-Tabung bantu pelajar golongan B40

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan sebanyak enam pengajian Diploma baharu bagi Sidang Akademik 2022/2023.

Program yang ditawarkan iaitu Diploma Kejuruteraan Metalurgi, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Pembuatan.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, UniMAP menawarkan 1,198 tempat kepada pelajar bagi mengikuti program diploma kali ini.

- Advertisement -

“UniMAP turut menawarkan bantuan menerusi sistem e-Tabung yang merangkumi Tabung Amanah Zakat dan Tabung Amanah Khas.

“Selain itu Tabung Sumbangan Korporat serta Tabung Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi meringankan beban pelajar dari golongan B40,” katanya pada majlis Taklimat Waris Minggu Suai Kenal Diploma Sesi Akademik 2022/2023 UniMAP di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail dan dekan-dekan fakulti.

Sementara itu seorang pelajar Soon Le En,18, tertarik cerita abang dan sepupunya yang memilih UniMAP untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi.

Bapanya, Soon Cheng Law,54, berkata, beliau menggalakkan anak-anaknya memilih UniMAP selepas melihat anak sulung Soon Zi Kai, 23, mengikuti pengajian di universiti berteras kejuruteraan.

“Anak sulung kami mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Komputer manakala dua sepupu mereka juga dalam bidang yang sama.

“Mereka sering bercerita mengenai pengajian di sini menyebabkan Le En yakin memilih bidang yang diminatinya di UniMAP,” katanya ketika ditemui. – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -